IPOH – Perak masih dalam proses libat urus dan memperhalusi penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sebelum Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dilaksanakan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penggunaan akta itu dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun depan.
“Kalau ikut di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita ada enam bulan untuk selaraskan dari segi pelaksanaan.
“Kita masih dalam proses untuk libat urus dan memperhalusi kaedah pelaksanaan sebelum kita ambil tindakan seterusnya.
“Secara prinsip, kerajaan negeri memang setuju, cuma kita perlu memperhalusi dari segi penguatkuasaan, pihak yang ditugaskan dan dari segi kaedah yang diguna pakai.
“Sebab kalau di bawah kerajaan negeri yang guna pakai Akta 672, ada jabatan yang dikhaskan untuk penguatkuasaan dan ambil tindakan.
“Dalam enam bulan yang pertama ini kita akan cuba selesaikan,” katanya selepas menyempurnakan Kempen Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit Program MADANI Rakyat (PMR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Aeon Mall Kinta City, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.
Semalam, seramai 78 pesalah menjalani PKM atas kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta 672.
PKM itu dilaksanakan secara serentak di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiada kompromi, warga asing tertakluk PKM kesalahan buang sampah merata


