KAMPAR – Pemasangan pembahagi jalan sepanjang kira-kira 100 meter di Kilometer 4, Jalan Kuala Dipang–Malim Nawar berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Sekah antara cadangan yang diusulkan susulan kejadian kemalangan membabitkan enam kenderaan semalam.
Kemalangan itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal wanita berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, inisiatif itu bertujuan mengelakkan kenderaan memasuki laluan bertentangan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serius berulang di kawasan berkenaan.
Menurutnya, satu mesyuarat penyelarasan bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Ketua Polis Daerah Kampar serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar bagi membincangkan langkah segera serta tindakan susulan yang bersesuaian.
“Insiden ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi kerana lokasi kejadian terletak berhampiran kawasan sekolah yang mempunyai aliran trafik tinggi, khususnya pada waktu puncak.
“Lawatan ke lokasi kejadian turut diadakan bagi meninjau sendiri keadaan semasa di kawasan berkenaan, termasuk aspek aliran trafik, tahap keselamatan sedia ada serta faktor-faktor yang berpotensi menyumbang kepada berlakunya kemalangan.
“Dapatan daripada tinjauan tersebut menjadi asas penting dalam merangka langkah penambahbaikan yang lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, selain pemasangan pembahagi jalan, beliau turut mencadangkan pewujudan kawasan khas “drop-off” di tanah milik kerajaan negeri bersebelahan sekolah seluas kira-kira 0.2 ekar bagi melancarkan aliran trafik serta menyediakan ruang lebih selamat kepada ibu bapa.
Dalam masa sama, beliau menyarankan supaya pihak PDT Kampar mempercepatkan kerja pembersihan dan pengosongan kawasan berkenaan yang kini menempatkan beberapa struktur terbiar bagi membolehkan projek tersebut dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Semua cadangan ini akan diperincikan oleh pihak JKR dan PDT Kampar dari aspek teknikal, pelaksanaan serta keperluan peruntukan sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.
Beliau berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dalam memastikan langkah penambahbaikan ini dapat direalisasikan segera demi keselamatan pengguna jalan raya, khususnya murid sekolah dan penduduk setempat.
Semalam, media melaporkan dua kanak-kanak yang baru pulang dari sekolah cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, Malim Nawar di sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua maut, seorang cedera dalam kemalangan babit kereta, motosikal


