LUMUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi serbuan di sebuah stor dan bengkel lori di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, dekat sini hari ini.
Pengarah KPDN Perak, Kamalludin Ismail berkata, operasi bersepadu di bawah Ops Tiris 4.0 dan Ops Jeriji itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung bersama Pasukan Polis Marin.
Menurutnya, hasil risikan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel secara tidak sah sebelum dijual semula ke pasaran industri.
“Dalam serbuan sekitar jam 10.30 pagi itu, pihak penguat kuasa telah mengesan seorang lelaki tempatan disyaki pemandu lori berusia 63 tahun sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah kepala lori ke dalam tangki simpanan pukal (IBC).
“Siasatan awal mendapati, bekalan diesel berkenaan dipercayai diperoleh daripada lori yang membeli minyak menggunakan fleet card (kad subsidi) di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, diesel tersebut dipercayai dibeli pada harga sekitar RM2 seliter sebelum dikumpulkan dan dijual semula kepada pasaran industri pada harga kira-kira RM3 seliter.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan.
“Susulan itu, pihak KPDN telah menyita sebanyak 4,000 liter cecair disyaki minyak diesel bersama sebuah kepala lori jenis Mercedes-Benz, tiga unit tangki IBC, sebuah pam elektrik lengkap dengan hos serta lima tong drum yang dianggarkan berjumlah RM80,275,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN tahan seorang lelaki, bongkar aktiviti penyelewengan diesel di Salak


