GERIK – Polis sedang menjalankan siasatan susulan satu kejadian tular di media sosial membabitkan seorang pemandu lori yang didakwa menumbuk pemandu bas selepas berlaku kemalangan di Kilometer 28.8 Jalan Raya Timur Barat (Gerik–Jeli) di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas jenis Scania dan sebuah lori jenis Isuzu sekitar jam 4.46 petang hari yang sama.
Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, bas yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Terengganu dengan membawa 20 penumpang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan kawasan selekoh, bas tersebut telah bergesel dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Jeli ke Gerik.
“Akibat pergeseran itu, cermin sisi bas serta tingkap sisi kanan lori mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemandu bas terbabit bagaimanapun meneruskan perjalanan kerana keadaan lokasi yang tidak sesuai untuk memberhentikan kenderaan.
Katanya, seorang lagi pemandu lori berusia 49 tahun yang menyaksikan kejadian itu telah menghubungi pemandu lori terbabit bagi membantu menahan bas berkenaan.
“Bas tersebut kemudiannya berjaya ditahan kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, menghala ke Hentian Titiwangsa di laluan Gerik ke Jeli.
“Selepas bas dihentikan, pemandu kedua bas yang berusia 32 tahun itu telah keluar sebelum seorang lelaki berusia 49 tahun bertindak menumbuk pipi kanan pemandu bas terbabit,” ujarnya.
Katanya, mangsa menerima rawatan di Hospital Daerah Gerik dan dibenarkan pulang selepas itu.
“Pihak bas dan lori telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video kejadian yang tular di media sosial.
“Tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih boleh mengelirukan masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.
Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan sebuah bas ekspres ditahan sekumpulan pemandu lori serta berlaku insiden seorang lelaki ditumbuk dalam klip berdurasi 44 saat itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas enam kenderaan: Polis masih tunggu laporan patologi pemandu Proton Satria


