IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat sebagai bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sebaliknya ketika ini kerajaan sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha terhadap menangani cabaran ekonomi dan keselamatan negara susulan konflik di Asia Barat
“Saya tidak akan adakan pilihan raya dalam satu (atau) dua bulan ini, sabar sekejap. Esok (apabila) sudah masa pilihan raya, bertempurlah. Sekarang ini kerja, ‘*enough of politics’ (cukup-cukuplah berpolitik), bangun selamatkan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan ketika ini memberi keutaman kepada usaha untuk menstabilkan ekonomi negara dan rakyat ekoran ketidaktentuan situasi global.
Tegas Perdana Menteri, perkembangan itu memerlukan usaha daripada semua pihak termasuk dalam kalangan pemimpin dan rakyat dalam memastikan ekonomi serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Anwar berkata, kerajaan juga telah mengambil beberapa langkah penjimatan termasuk membatalkan sebahagian besar lawatan rasmi ke luar negara khususnya yang melibatkan menteri dan timbalan menteri.
“Saya mohon kefahaman (semua pihak) apabila keadaan negara ini gawat, ia memerlukan pendekatan bersama supaya pemimpin, penjawat awam dan semua (perlu) fokus bagaimana hendak selamatkan negara kita.
“Jika keadaan ekonomi begini (terus bermasalah, kita khuatir) jenayah termasuk kes penyeludupan akan meningkat. Oleh itu kita kena fikir bab itu,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Krisis Asia Barat: Bangladesh import diesel dari Malaysia, Singapura, India


