IPOH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun menerima sebuah bas baharu bagi menggantikan bas lama yang berusia lebih 30 tahun.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penyerahan bas tersebut adalah hasil penelitian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap keperluan pihak sekolah, khususnya bagi menggantikan bas lama yang telah uzur.
Menurutnya, kemudahan bas baharu itu juga bakal memberi manfaat kepada pelajar yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum di luar sekolah.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha KPM setelah meneliti keperluan daripada pihak SMK Raja Permaisuri Bainun untuk dibekalkan satu unit bas baharu dengan 40 tempat duduk ini.
“Bas yang sebelum ini telah pun berusia 31 tahun, iaitu pada tahun 1995, yang mana bas itu adalah satu bas coaster 20 tempat duduk. Sekarang dengan 40 tempat duduk, sudah tentu boleh menampung keperluan pihak sekolah.
“Dengan bas ini juga, kita tahu nanti apabila anak-anak kita hendak keluar untuk buat persembahan ataupun menyertai mana-mana pertandingan, kita dapat membekalkan satu kaedah pengangkutan yang kondusif dan juga selamat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bas kepada sekolah berkenaan di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Datin Khalilah Za’aba.
Dalam pada itu, Wong turut mengumumkan peruntukan tambahan bagi menaik taraf kemudahan sekolah berkenaan.
“Hari ini juga, saya telah pun mengumumkan satu peruntukan dari KPM sebanyak RM50,000 bagi tujuan untuk penambahbaikan surau di sekolah ini, sebagaimana yang dimohon oleh pihak sekolah.
“Menerusi usaha sebegini, kita berharap bahawa kita dapat memperbaiki dan juga menaik taraf fasiliti sekolah secara berfasa, dan juga sebagai satu dorongan kepada pihak sekolah untuk mencapai satu prestasi yang lebih baik,” ujarnya.
Artikel Berkaitan:
Aktiviti lasak, air di semua IPG dihentikan sementara


