IPOH – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di kawasan Buntong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung satu pergaduhan kira-kira jam 11.10 malam sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 25 tahun itu berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang bertindak menyerang menggunakan parang.
“Beberapa rakan mangsa turut mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,” ujarnya.
Katanya, seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan manakala usaha mengesan serta menahan suspek lain masih giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mendatangkan kecederaan parah dan merusuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam stor berkunci bukan kakitangan UPSI


