IPOH – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh dan Syarikat Six Sense Creative (SSSC) melancarkan novel Cura Si Manja Kini yang mengisahkan pengembaraan seorang pelajar merentasi dua zaman untuk mengetahui susur galur sejarah Kesultanan Melayu Perak.
Pengarah KPTM Ipoh, Noor Laili Abdullah berkata, KPTM Ipoh menjadi penerbit bersama dengan SSSC untuk menghasilkan novel yang menyasarkan remaja khususnya pelajar untuk lebih berminat mengetahui sejarah, budaya dan tradisi bangsa.
Menurutnya, institusi pengajian tinggi (IPT) bersama pemain industri dan penerbit buku atau novel boleh berganding bahu untuk terus memberi motivasi merangsang budaya membaca dalam kalangan remaja dan pelajar.
“Novel ini pastinya menarik perhatian remaja khususnya pelajar kerana sepanjang pengembaraan tersebut, mereka mungkin akan merasa dirinya amat terkait dengan susur galur Kesultanan berkenaan.
“Pendekatan yang lebih santai dan bersesuaian dengan jiwa remaja dijangka dapat menarik minat mereka untuk menghayati sejarah bangsa dan negara,” katanya pada sidang media selepas pelancaran novel itu di Dewan Utama KPTM Ipoh, Bandar Meru Raya, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada sama, Noor Laili berkata, pihaknya dan SSSC turut bercadang untuk mengadaptasi novel ini menjadi filem animasi pada masa akan datang.
Katanya, kepakaran pensyarah-pensyarah yang berpengalaman di kolej berkenaan boleh digunakan bagi menghasilkan filem animasi berkenaan serta menterjemahkan novel tersebut ke bahasa Inggeris.
“Kita mempunyai pensyarah yang mengajar TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)dan pensyarah yang berpengalaman dalam bidang animasi dan reka bentuk game.
“Jadi kami akan menggunakan kepakaran pensyarah-pensyarah tersebut pada masa akan datang untuk menghasilkan filem animasi berteraskan novel ini serta menterjemahkanya kepada versi bahasa Inggeris,” katanya.
Noor Laili berkata, buat masa ini masih belum ada ketetapan lagi syarikat atau organisasi yang akan bekerjasama untuk menghasilkan filem animasi tersebut.
Ujar beliau, kolej tersebut turut mengadakan program mentor mentee iaitu program sokongan untuk menyokong pembelajaran pelajar yang dimasukkan dalam jadual kuliah pelajar.
“Kita ada slot dua jam setiap minggu untuk pelajar berjumpa dengan mentor bagi membincangkan masalah pembelajaran dan di samping itu masalah berkaitan kehidupan mereka.
“Justeru, dengan berpandukan novel itu kita boleh jadikan rujukan sebagai panduan untuk kita meneladani apa yang ada dalam novel tersebut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Perak (PTA), Datuk Mohd Odzman Abdul Kadir menyambut baik usaha KPTM Ipoh dan SSSC itu.
“Ini adalah titik permulaan galakan kepada pengenalan sejarah, jadi ini secara tidak langsung membuka minda generasi muda untuk lebih mendalami sejarah.
“Sejarah Perak ini luas bukan sahaja Cura Si Manja Kini. Jadi saya harap universiti dan agensi lain harus bekerjasama atau mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan perkara sama,” ujarnya.
KPTM menyasarkan jualan 500 unit novel Cura Si Manja Kini yang berharga RM10 senaskah di enam cawangan di seluruh Malaysia termasuk Universiti Poly-Tech Malaysia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PPANPk julung kali anjur Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak Perak