Rangka ‘Perak Woman’ diharap dapat dibawa pulang ke Lenggong

LENGGONG – Rangka Perak Woman iaitu rangka manusia wanita yang wujud sejak lebih 8,000 tahun lalu diharap dapat dibawa pulang ke tempat asalnya di Lenggong dalam usaha untuk memperkasa nilai warisan negara.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu diharap dapat menjadi tarikan pelancongan di kawasan cukup yang terkenal dengan khazanah arkeologi bertaraf dunia.

Menurutnya, sebelum ini usaha sama telah dilakukan untuk membawa pulang rangka Perak Man yang berusia ke Lenggong, yang kini terbukti memberi impak positif kepada sektor pelancongan setempat.

“Alhamdulillah, hari ini Perak Man telah ada di sini dan orang ramai boleh datang untuk mengunjunginya. Kita berharap Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan bawa balik Perak Woman.

“Saya difahamkan (Perak Woman) disimpan di tempat lain. Jadi, bila dibawa balik sini, boleh dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan dapat meningkatkan kehadiran pelancong.

“Ini kerana bila rangka asal Perak Man ada di sini, berlaku peningkatan dari sudut pelancong datang kerana nak tengok. Jadi, kalau ada Perak Woman di sini, ia menambah kepada peningkatan jumlah pelancong,” katanya yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di sini pada Jumaat.

Perasmian majlis itu disempurnakan Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Sebelum ini, rangka asal Perak Man, iaitu rangka manusia berusia sekitar 11,000 tahun yang ditemukan pada 1991, telah dibawa pulang ke Lenggong pada Julai 2025 dan kini dipamerkan di Muzium Arkeologi Lembah Lenggong selepas disimpan di Muzium Negara sejak 2021.

Sementara itu, rangka Perak Woman yang berusia kira-kira 8,000 tahun ditemukan pada 2004 di Gua Teluk Kelawar di sini, dengan wanita tersebut dipercayai meninggal dunia pada usia sekitar 40 tahun serta mempunyai ketinggian kira-kira 148 sentimeter (cm). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak buat semakan bajet naik taraf Lenggong selepas pengiktirafan UNESCO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI