Saarani saran penduduk, pelajar jadi ‘duta kecil’ perkenal Lenggong

LENGGONG – Penduduk tempatan dan pelajar perlu mendalami sejarah Lenggong supaya dapat menyampaikan maklumat tepat kepada pelancong, terutama sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus menjadikan mereka duta kecil di daerah tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komuniti setempat di kawasan Lenggong perlu terlebih dahulu memahami serta menghayati sejarah dan warisan yang terdapat di kawasan tersebut sebelum dipromosikan kepada pelancong luar.

Menurutnya, selain itu, pendedahan awal juga perlu diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah supaya mereka benar-benar memahami sejarah setempat, termasuk penemuan bersejarah Perak Man di Lenggong.

“Saya nak pastikan sebelum kita jemput orang luar datang ke mari (Lenggong), tambahan ke Tahun Melawat Perak, kita nak orang tempatan dari Kota Tampan, Kampung Luat, Kampung Banggol Belimbing, orang-orang Lenggong terlebih dahulu menguasai subjek (sejarah Lenggong) ini.

Penduduk tempatan, pelajar jadi  ‘duta kecil‘ perkenal Lenggong kepada pelancong
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 10 APRIL 2026.

“Selain itu, saya juga tidak kedekut untuk menyediakan sedikit peruntukan kepada sekolah-sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melalui pegawai rancangan, supaya diuruskan secara teratur.

“Bawa pelajar sekolah rendah, sekolah menengah ini supaya dia datang ke (Lenggong), belajar tentang sejarah dan mereka sendiri terlatih untuk bercakap menjadi duta kita.

“Kalau dia pergi makan kenduri di Pulau Pinang, dia boleh beritahu orang Pinang, ‘mailah ke Lenggong, ada macam-macam.

“Dia boleh cerita tentang sejarah Perak Man semuanya. Jadi sebelum dia boleh bercakap, dia dulu kena memahami, kena menghadam supaya dia fasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di sini pada Jumaat.

Penduduk tempatan, pelajar jadi  ‘duta kecil‘ perkenal Lenggong kepada pelancong
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Kota Tampan, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 10 APRIL 2026.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 telah meletakkan namanya pada kedudukan yang istimewa di peringkat antarabangsa.

Katanya, penemuan seperti rangka manusia Perak Man, kesan hentaman meteor dan pelbagai artifak prasejarah telah mengangkat Lenggong sebagai antara tapak warisan penting Malaysia yang mendapat perhatian dunia.

“Hakikatnya, tidak banyak tempat di dunia yang menyimpan jejak kehidupan manusia secara berterusan seperti yang terdapat di Lenggong. Di sini, kita tidak hanya melihat sejarah, tetapi menyaksikan bagaimana manusia membina kehidupan sejak ribuan tahun dahulu.

Penduduk tempatan, pelajar jadi  ‘duta kecil‘ perkenal Lenggong kepada pelancong
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 10 APRIL 2026.

“Atas asas itulah, warisan ini perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab dan diperkenalkan dengan pendekatan yang lebih segar supaya nilainya terus difahami oleh generasi hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pembukaan semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong membawa makna yang besar yang menjadi ruang yang menghimpunkan ilmu, penyelidikan dan pengalaman pelawat dalam satu bentuk yang lebih tersusun dan mudah dihayati.

“Kerja naik taraf galeri ini yang menelan kos RM5 juta telah memperkenalkan pelbagai elemen baharu termasuk teknologi hologram, paparan interaktif serta visual moden, sekali gus menjadikan pengalaman pengunjung lebih menarik dan mudah difahami.

“Pendekatan ini penting kerana cara kita menyampaikan sejarah juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan zaman.

“Generasi muda hari ini memerlukan pengalaman yang lebih dekat dan interaktif supaya mereka dapat memahami serta menghargai sejarah dengan lebih mendalam,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Rangka ‘Perak Woman’ diharap dapat dibawa pulang ke Lenggong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI