Kaedah tradisional tidak memadai selesaikan masalah rakyat, perlu inovasi – Sultan Nazrin

IPOH – Kaedah tradisional tidak lagi memadai untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat mahupun bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha ke arah inovasi kini bukan sekadar pilihan dasar, malah merupakan satu keperluan.

“Kerajaan yang gagal berinovasi bukan sahaja akan ketinggalan dalam memenuhi ekspektasi rakyat, malah bakal kehilangan daya saing dalam landskap global yang semakin mencabar.

“Negeri Pintar menuntut keperluan modal insan yang kompeten untuk memberikan perkhidmatan yang efektif,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Gambar Fail: Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah melihat guru dan murid sekolah bermain permainan Goolee pada Karnival Digital Dan Inovasi Negeri Perak di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 NOVEMBER 2024.

Sultan Nazrin bertitah, oleh itu transformasi perkhidmatan awam perlu digerakkan secara agresif bagi melahirkan penjawat awam yang mahir mengemudi teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Titah baginda, misalnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjadi peneraju utama di negeri ini yang memanfaatkan teknologi 5G dan AI dalam dalam pengurusan trafik pintar menerusi Ipoh Integrated Operation Command Centre.

Selain itu titah Sultan Nazrin, infrastruktur digital negeri kini dipertingkatkan menerusi pengukuhan rangkaian 5G dengan pembinaan 301 pemancar baharu dan pembangunan Pusat Data Negeri berkonsepkan Teknologi Hijau.

Titah baginda lagi, ketersediaan infrastruktur berkenaan menjadi tulang belakang kepada ekosistem negeri pintar yang holistik demi melonjakkan kualiti hidup rakyat menerusi persekitaran yang lebih selamat, lestari dan sejahtera.

“Kerajaan beta menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah meluluskan peruntukan RM350 juta untuk pembangunan bandar pintar dan membolehkan Pusat Kawalan dan Operasi Rangkaian Bersepadu Negeri Perak dibangunkan.

Gambar Fail: Markas Udara TLDM johan kategori Terbuka (AI Terbuka) Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 NOVEMBER 2025.

“Tujuh daripada 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak telah diiktiraf sebagai ‘Smart City Early Adopters’ oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); sementara enam PBT lagi akan menyusul pada tahun 2026.

“Pembangunan Pusat Kawalan dan Rangkaian Bersepadu akan berperanan sebagai pemangkin bagi mencapai visi negeri pintar, sekali gus memacu kesemua PBT meraih pengiktirafan Smart City Early Adopters,” titah Sultan Nazrin.

Pada masa sama, titah baginda, teknologi tercanggih tidak memberi makna, sekiranya gagal menyentuh denyut nadi rakyat, malah dibimbangi berkemungkinan melebarkan lagi jurang kesenjangan sosial.

Sultan Nazrin bertitah, kejayaan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bukit Chandan Kuala Kangsar, Ahmad Salimie Baskani yang merangkul tempat ketiga di Malaysia Culinary World Cup 2025 serta tiga pingat emas diraih anak-anak NADI Felda Gunung Besout Satu di Bangkok harus dijadikan contoh.

“Agenda pendigitalan yang bersifat inklusif kini telah menyantuni 176,000 rakyat melalui rangkaian NADI. Inilah manifestasi sebenar transformasi digital yang dihasratkan, teknologi yang memanusiakan pembangunan, tidak menghakis nilai insani, serta memperkasa potensi setiap lapisan rakyat agar tiada yang tertinggal,” titah baginda. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Liputan 5G di Perak kini capai 80 peratus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI