UPSI terajui projek pemuliharaan hutan berteknologi pintar di Central Forest Spine

TANJUNG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerajui pelaksanaan projek pemuliharaan hutan berteknologi pintar di kawasan Central Forest Spine (CFS) di Gerik.

UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan projek berkenaan dilaksanakan di bawah geran antarabangsa berjumlah RM3 juta menerusi inisiatif EduGreen@UPSI yang diterimanya.

Katanya, Geran itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Procter & Gamble (P&G) Amerika Syarikat dan World Wide Fund for Nature (WWF-Malaysia) di bawah program Nature Pillar bagi pelaksanaan projek ‘Integrated Smart Bioacoustic Project for Wildlife & Forest Conservation’.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam kenyataan sama berkata, UPSI sebagai peneraju projek memfokuskan pembangunan teknologi konservasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan bioakustik pintar bagi memperkukuh pemantauan biodiversiti serta keselamatan hutan secara masa nyata di kawasan CFS.

Beliau berkata, peranan universiti sebagai peneraju projek itu mencerminkan keupayaan institusi berkenaan dalam menggabungkan kepakaran teknologi dan penyelidikan bagi menyokong agenda pemuliharaan hutan negara.

“Melalui penerapan teknologi AI dan IoT, UPSI berupaya membangunkan sistem pemantauan hutan secara masa nyata yang lebih cekap dan berimpak tinggi dalam usaha melindungi hidupan liar serta ekosistem hutan.

“Kerjasama strategik bersama WWF-Malaysia dan P&G Amerika Syarikat turut membuka peluang penglibatan lebih luas dalam kalangan penyelidik, pelajar serta komuniti setempat,” katanya.

Program Nature Pillar di pihak WWF-Malaysia diterajui oleh Dr Karthigayan Gunasegaran yang menyelaras pelaksanaan strategik inisiatif konservasi berimpak tinggi bersama rakan industri global dan institusi akademik termasuk UPSI.

Projek berkenaan diketuai oleh Prof Dr Che Zalina Zulkifli dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), UPSI sebagai ketua projek yang menerajui pembangunan sistem pemantauan hidupan liar bersepadu berasaskan teknologi pintar.

Beliau dibantu oleh rakan penyelidik, Dr. Nor Asiah Mohamad @Razak, Dr. Okta Nurika, Dr. Salem Abdullah Salem Garfan, Dr. Mad Helmi Ab Majid dan Dr. Suhazlan Suhaimi, manakala Prof Dr. Ridzwan Che Rus bertindak sebagai Ketua Sub-Projek Ekologi yang menyokong pembangunan rangka kerja saintifik pemetaan biodiversiti serta analisis habitat secara bersepadu di kawasan CFS.

Terdahulu, Dr Md Amin hadir pada majlis pelancaran program Nature Pillar WWF-Malaysia dan P&G Amerika Syarikat di Belum Rainforest Resort, Gerik, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi WWF-Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar bersama barisan pengurusan tertinggi WWF-Malaysia, wakil kepimpinan P&G Amerika Syarikat. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI