IPOH – Sebanyak 4,848 kes penipuan dalam talian dengan kerugian lebih RM124.9 juta direkodkan di Perak pada 2025.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, antara bentuk penipuan yang paling kerap berlaku ialah penipuan telekomunikasi seperti panggilan palsu dan phishing (memancing data).
Menurutnya, ia diikuti penipuan pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang, love scam, serta penipuan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih dan sukar dikesan.
“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk perlaksanaan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar kejadian penipuan dalam talian.
“Di samping itu, Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut menghimpunkan sumber dan kepakaran bagi membanteras penipuan kewangan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Data daripada PDRM menunjukkan bahawa kes penipuan dalam talian di Perak pada tahun 2025 melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, pekerjaan mahupun latar belakang, termasuk pelajar, penjawat awam, pesara dan sektor swasta.
“Didapati juga bahawa mangsa lelaki dan wanita adalah hampir seimbang, manakala warga emas dikenal pasti sebagai golongan paling terdedah, namun trend terkini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan pelajar,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.
Mohd Azlan berkata, berikutan itu beberapa program diadakan bagi membendung penipuan dalam talian ini daripada terus berleluasa termasuk program Kempen Internet Selamat yang dilancarkan pada 2025.
“Program ini dijalankan dengan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber serta mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.
“Sepanjang tahun lalu, kempen ini telah dilaksanakan di 906 buah sekolah diseluruh negeri Perak dengan penglibatan semua peringkat pelajar rendah dan menengah.
“Bagi tahun 2026, program ini seterusnya akan diperluaskan lagi ke peringkat kampung, mukim dan daerah dalam memastikan mesej keselamatan internet termasuk penipuan dan jenayah digital sampai ke segenap lapisan masyarakat dan komuniti dengan informasi lebih mudah difahami dan dihayati,“ ujarnya.
Katanya, perhatian khusus diberikan kepada perlindungan golongan berisiko seperti warga emas, pesara dan pelajar melalui pelbagai program pencegahan yang lebih bersasar.
“Penekanan diberikan kepada pendidikan literasi digital, penggunaan teknologi AI dan analisis data bagi pengesanan awal, serta pengukuhan undang-undang termasuk tindakan tegas terhadap sindiket dan akaun keldai selain, ekosistem keselamatan kewangan turut diperkasa melalui kerjasama antara agensi berkaitan,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Scammer kuih raya dikesan aktif sejak Disember, kerugian cecah RM300,000


