IPOH – Seramai 55,514 individu dalam kalangan penerima bantuan telah menerima manfaat bantuan kewangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri Perak sehingga Mac tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, keberkesanan program-program bantuan dinilai berdasarkan kepada beberapa aspek.
Katanya, ia termasuk keupayaan memenuhi keperluan asas, peranan bantuan sebagai sokongan sosial dan alat pemulihan, serta tahap pengurangan kebergantungan penerima terhadap bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Disember lalu, seramai 732 Ketua Isi Rumah telah berjaya dinoktahkan daripada status miskin tegar di Perak, sekali gus mencapai matlamat sifar miskin tegar.
“Selain itu, seramai 11,648 Ketua Isi Rumah atau 45 peratus telah berjaya keluar daripada status miskin, melepasi sasaran nasional sebanyak 33 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengakui bahawa cabaran menangani kemiskinan adalah satu usaha berterusan yang memerlukan pendekatan yang dinamik dan sentiasa ditambah baik.
Salbiah berkata, misalnya pelaksanaan terhadap Program One Stop Centre Sejahtera Sosial yang mana pada tahun ini ia ditambah baik kepada model intervensi berasaskan keluarga.
Ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Yusri, beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh kerajaan negeri disifatkan sebagai jambatan untuk membantu mengubah kehidupan kumpulan sasar.
“Melalui pendekatan ini, setiap daerah atau mukim akan mengenal pasti sekurang-kurangnya 100 Ketua Isi Rumah daripada kategori miskin dan miskin tegar dalam data eKasih untuk dijadikan keluarga sasaran serta melalui proses profiling menyeluruh.
“Melalui usaha ini, kita akan melaksanakan padanan intervensi dengan keperluan yang sesuai seperti penyediaan program latihan dan kemahiran. Ini kerana kemiskinan ini bukanlah satu perkara yang perlu diwarisi, sebaliknya ia boleh berubah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beri perhatian kemungkinan muncul kumpulan miskin baharu – Sultan Perak


