Fasa pertama projek Pusat Santuari Gajah Perak bernilai RM52 juta

IPOH – Fasa pertama projek pembinaan Pusat Santuari Gajah Perak atau ‘Perak Elephant Sanctuary’ (PES) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik menelan kos keseluruhan sebanyak RM 52.13 juta.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, kerja-kerja pembinaan fasa pertama pusat perlindungan hidupan liar itu akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap pada akhir tahun 2030.

Katanya, ia akan memfokuskan kepada pembinaan asas yang melibatkan pembinaan kompleks pejabat, kurungan gajah dan berek kakitangan, sementara fasa dua pula, ia akan melibatkan kerja-kerja pembinaan fasiliti ekopelancongan.

“Projek PES ini telah mendapat kelulusan dan dana pembinaannya daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Bagi tahun ini, kerja-kerja awalan pembinaan seperti kerja ‘survey’ dan ‘utility mapping’ serta kerja ‘soil investigation’ telah dimulakan.

“Kerja-kerja ini juga telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui lantikan perunding dengan kos sebanyak RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Menurut Kok Lim (PH-Aulong), tapak pembinaan PES di kawasan seluas 79.74 hektar yang telah diwartakan kerajaan negeri menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri itu antara usaha negeri dalam menjaga hidupan liar yang terancam.

Jelas beliau, pemilihan lokasi di Batu 11 JRTB itu juga strategik kerana ia berhampiran dengan habitat semula jadi gajah liar, sekaligus sesuai dijadikan pusat konservasi dan pemuliharaan spesies tersebut.

“Projek ini juga dijangka menjadi mercu tanda baharu negeri Perak sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, dan tarikan pelancongan yang memfokuskan kepada pemeliharaan gajah serta kesedaran awam mengenai kepentingan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan Kok Lim memaklumkan, kerajaan negeri sedang merangka Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Negeri Perak sebagai agenda pemuliharaan haiwan liar terancam itu di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, ia susulan daripada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika istiadat pembukaan persidangan sebelum ini yang mana baginda menekankan bahawa manusia serta hidupan liar perlu hidup secara harmoni demi keseimbangan ekosistem.

“Kerajaan Negeri komited untuk memelihara khazanah biodiversiti negeri, khususnya Harimau Malaya sebagai spesies ikonik negara. Kita harus mengakui bahawa kita kini berada pada satu titik yang amat kritikal.

“Populasi Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan, dan negeri Perak merupakan antara benteng terakhir bagi kelangsungan spesies ini,” ujarnya. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI