IPOH – Sebanyak 1,755 koperasi berdaftar di Perak dengan keanggotaan melebihi 355,000 orang menyumbang syer atau yuran melibatkan jumlah keseluruhan RM553 juta bagi tahun lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, Perak juta turut merekodkan nilai aset koperasi berjumlah RM1.62 bilion .
Menurut Salbiah sumbangan perolehan perniagaan koperasi juga mencatatkan peningkatan sebanyak 12 peratus daripada RM706 juta pada 2024 kepada RM792 juta pada tahun lalu.
“Petunjuk ekonomi ini bukan sekadar angka yang menggambarkan kekuatan gerakan koperasi di Perak, bahkan ianya turut membuktikan peranan koperasi yang menjadi tulang belakang sosioekonomi dengan menyediakan peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan kepada komuniti setempat.
“Melalui pelbagai aktiviti ekonomi seperti pertanian dan perladangan, koperasi menggerakkan pembangunan sosioekonomi setempat dengan mengusahakan tanah-tanah terbiar yang secara tidak langsung menyediakan peluang pekerjaan tidak formal kepada masyarakat khususnya golongan miskin dan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Tambah Salbiah, melalui koperasi juga, produk dan barangan serta hasil pertanian yang diusahakan oleh golongan ini secara kecil-kecilan boleh turut dipasarkan di kedai atau premis koperasi.
Beliau berkata, secara tidak langsung, usaha ini memupuk minat dan meningkatkan keupayaan serta pendapatan kepada golongan ini melalui aktiviti keusahawanan.
“Selain itu, sebagai sebuah entiti sosioekonomi, gerakan koperasi turut menyumbangkan semula keuntungan yang diperoleh melalui aktiviti perniagaan kepada komuniti setempat.
“Ia dilaksanakan sama ada melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) mahupun dalam bentuk formal seperti pembayaran zakat perniagaan kepada asnaf yang layak,” katanya.
Salbiah berkata, inilah sumbangan tidak nyata koperasi yang tidak didendangkan dalam membantu kerajaan menangani isu kemiskinan. -MG Perak


