IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan Geran Usahawan Perak Sejahtera PLUS (GeRAK+) susulan kejayaan pelaksanaan GeRAK membantu usahawan mikro dan kecil di negeri ini meningkatkan kapasiti perniagaan dan produktiviti mereka.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, GeRak+ adalah geran padanan sehingga RM5,000 yang memberi penekanan kepada pengembangan perniagaan ke tahap yang lebih mampan dan kompetitif.
“Pendekatan geran padanan ini juga secara tidak langsung menggalakkan komitmen bersama usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Salbiah berkata, pelaksanaan GeRAK membolehkan penerima menerima bantuan geran secara one-off dengan nilai maksimum RM2,000 bagi meningkatkan kapasiti operasi dan produktiviti perniagaan usahawan mikro.
“Walaupun geran ini terbuka kepada semua usahawan tanpa mengira jantina, data tahun 2025 menunjukkan bahawa seramai 505 orang penerima atau 60.84 peratus daripada keseluruhan penerima adalah terdiri daripada wanita.
“Peratusan ini memberi gambaran yang jelas bahawa wanita bukan sahaja menjadi penerima manfaat utama, malah berupaya memanfaatkan bantuan yang disediakan untuk memperkukuh aktiviti ekonomi mereka,“ ujarnya.
Katanya, bantuan berskala kecil tetapi bersasar seperti GeRAK terbukti berkesan dalam membantu usahawan wanita meningkatkan pengeluaran, memperbaiki kualiti produk serta menambah keupayaan memenuhi permintaan pasaran. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


