IPOH – Kerajaan Negeri Perak terus mempergiat usaha membantu rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah dengan menambah pelaksanaan program Jualan Sejahtera Rakyat di bawah inisiatif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang diadakan pada hari ini.
“Pada dasarnya, mesyuarat Exco memutuskan ada banyak bendalah tapi secepat mungkin ini dahulu (Jualan Sejahtera Rakyat) sebab kita tak nak orang tak makan ke apa pun, tak ada kekuatan (kuasa beli) untuk beli barang mahal.
“Jadi, kita tak boleh salahkan pekedai, tak boleh salahkan peniaga-peniaga kedai runcit. Mereka terpaksa naikkan harga kerana minyak diesel yang mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Jelajah Yakin 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.

Dalam pada itu, Saarani berkata, setakat ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.2 juta setahun sebagai subsidi kepada YBUDR bagi membeli barang keperluan tersebut.
“YBUDR beli barang, jual dengan harga lebih murah, dulu, tetapi sekarang dengan harga diesel yang mahal, tiada pilihanlah kena naikkanlah harga barang tu. Jadi akan membebankan rakyat.
“Jadi macam mana kita putuskan tadi, YBUDR akan jual harga barang murah seperti biasa dan kerajaan (negeri) menanggung (kos) diesel itu,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri kini menunggu kertas kerja yang sedang disediakan oleh pihak YBUDR bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.
Inisiatif Jualan Sejahtera Rakyat ini membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan termasuk beras, minyak masak, gula, tepung, pelbagai hasil laut dan sayuran yang dijual pada diskaun sehingga 20 peratus daripada harga pasaran. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah bantu rakyat jimat perbelanjaan


