TANJUNG MALIM – Seramai 10 kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima sumbangan daripada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) universiti itu sebagai persediaan menunaikan ibadah haji tahun ini.
Penerima sumbangan terdiri daripada Dr Ruaibah Yazani Tengah; Profesor Dr Mohd Nizam Nasrifan; Profesor Madya Dr Sharul Effendy Janudin; Dr Md Azman Shahadan; Profesor Madya Dr Siti Rahaimah Ali; Puteri Khairul Syafida Megat Khas; Profesor Madya Dr Muhammad Bazlan Mustafa; Profesor Dr Ramlee Mustapha; INSP/PB Siti Suriana Yahya serta Dr Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan.
Sumbangan berjumlah RM250 setiap seorang itu disampaikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), baru-baru ini.
Md Amin berkata, sumbangan itu adalah tanda sokongan dan keprihatinan universiti dalam membantu kebajikan warga UPSI yang bakal menjadi tetamu Allah SWT.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga menjadi simbol komitmen universiti dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan dalam kalangan kakitangan selain memberi dorongan kepada mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima dengan lebih sempurna.
“Semoga para jemaah memperoleh keberkatan dan barakah berpanjangan, bukan sahaja ketika berada di Tanah Suci, malah selepas kembali ke tanah air,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Raja Nor Safinas Raja Haron; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati bakal jemaah supaya sentiasa menjaga adab, kesihatan serta memanfaatkan sepenuhnya peluang beribadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
Sementara itu, Pengarah WEZAS, Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latiff turut menasihatkan para jemaah supaya membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal selain memperbanyakkan doa agar dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah haji.
Katanya, peluang menunaikan haji pada masa kini amat berharga berikutan tempoh menunggu yang panjang serta peningkatan kos dari tahun ke tahun.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu para jemaah membuat persiapan sewajarnya, sekali gus memperoleh haji yang mabrur,” ujarnya.
Tambahnya, WEZAS akan terus komited memperkasa kebajikan dan kesejahteraan warga universiti melalui pelbagai inisiatif berteraskan wakaf, zakat dan sedekah demi kemaslahatan bersama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI terajui projek pemuliharaan hutan berteknologi pintar di Central Forest Spine


