Kampus cawangan UPNM di Lumut pelengkap komponen pertahanan laut – MB

GOPENG – Kerajaan Negeri Perak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menubuhkan kampus cawangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dalam satu kunjung hormat KPT ke pejabat beliau di Ipoh, baru-baru ini.

Menurutnya, delegasi yang diketuai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengenal pasti serta bersetuju dengan lokasi cadangan pembukaan cawangan institusi pengajian tinggi (IPT) itu di Segari, Lumut.

“Inisiatif ini akan melengkapkan dua pembangunan Bandar Pertahanan sedia ada di negara ini, iaitu di Kuantan, Pahang bagi komponen pertahanan udara dan di Klang, Selangor bagi pertahanan darat.

“Dengan pembukaan cawangan UPNM di Perak, ia akan menjadi pelengkap kepada komponen pertahanan laut (memandangkan Lumut merupakan pangkalan utama pertahanan perairan negara),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Gopeng Avante, Bandar Seri Raya di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng Hee serta Pengerusi Eksekutif Bumi Avante Sdn. Bhd, Ramelle Ashram Tun Ramli.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat sekitar perumahan Gopeng Avante selepas merasmikannya di Bandar Seri Raya, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF 23 APRIL 2026.

Mengulas lanjut Saarani berkata, pembangunan kampus cawangan itu kini di peringkat awal pelaksanaan susulan persetujuan kerajaan negeri terhadap projek berkenaan.

“Ia bukan sekadar kampus kecil, sebaliknya sebuah kampus lengkap, apatah lagi Lumut menempatkan kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Dengan kewujudan Bandar Pertahanan serta Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), saya yakin kampus UPNM ini akan muncul sebagai antara IPT yang cemerlang,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PUO Kampus Bercham libat kos RM27.1 juta siap dibina

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI