IPOH – Masalah dihadapi lebih 200 petani yang terkesan dengan pembangunan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di Khantan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan akan datang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia berikutan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk syarikat terlibat dalam mencari penyelesaian bersama.
Menurut beliau, pihak Pejabat Ahli Parlimen Tambun telah berbincang dengan salah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi mencari kawasan yang bersesuaian untuk memberi laluan kepada petani menjalankan aktiviti pertanian masing-masing.

“Sebelum itu juga, pihak saya daripada pejabat Ahli Parlimen Tambun telah berjumpa dengan sebuah syarikat dan masih lagi dalam proses perbincangan untuk mengenal pasti beberapa kawasan tanah yang tidak digunakan untuk memberi laluan mereka menjalankan kegiatan pertanian.
“Jadi secara prinsipnya pihak syarikat telah bersetuju untuk memberikan sebahagian atau menyewa sebahagian daripada tanah mereka bagi tujuan ini. Cuma kita masih lagi berunding daripada sudut terma tempoh dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi perbincangan bersama petani berhubung isu status tanah di Khantan, Chemor, di sini, pada Jumaat.

Muhammad Kamil berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan selain milik GLC dan syarikat terlibat bagi membantu petani terlibat.
“Insya-Allah saya jangankan dalam tempoh beberapa bulan ke hadapan ini kita dapat beri penyelesaian yang tuntas kepada para petani-petani di Klebang.
“Ini kerana ia bukan isu yang baru, ini isu yang lama berlarutan tidak diselesaikan dan insya-Allah dalam tempoh terdekat ini kita akan cari jalan penyelesaian yang konklusif supaya mereka ini dapat teruskan dengan kegiatan ekonomi mereka dan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa,” katanya. -MG Perak


