IPOH – Paras air Tasik Temengor menunjukkan perkembangan positif apabila berada pada merekodkan bacaan terkawal pada Jumaat.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, paras air di empangan berkenaan mencatatkan paras normal iaitu 240 meter setakat jam 8 pagi, meskipun tiada hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam di situ.
Katanya, operasi di empat empangan stesen jana kuasa utama di sepanjang Sungai Perak iaitu di Temengor, Bersia, Kenering dan Chenderoh juga berada dalam baik serta terkawal.
“Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bahawa situasi semasa (paras air di) Sungai Perak dan Empangan Bukit Merah adalah terkawal.
“Semua jabatan dan agensi teknikal berkaitan sentiasa bersiap siaga serta menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan awam, kelangsungan bekalan air dan keperluan pengairan sentiasa terpelihara,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan juga sedang memantau rapi bacaan paras air di kawasan Parit dan Teluk Sena yang masing-masing berada pada bacaan hampir kritikal
Beliau berkata, ia bagi memastikan operasi rumah pam serta sistem pengambilan air mentah tidak terjejas.
“Paras air di Sungai Perak di stesen di Parit mencatatkan bacaan 16.89 meter dan Teluk Sena (8.11 meter). Kedua-duanya mencatatkan bacaan hampir kepada paras kritikal rumah pam.
“Sementara stesen di Jambatan Iskandar dan Kampung Gajah berada pada paras normal dengan bacaan masing-masing 31.11 meter dan 4.14 meter,” ujarnya.
Pada masa sama beliau berkata, paras air takungan di Empangan Bukit Merah mencatatkan bacaan pada 7.437 meter dengan status berjaga-jaga pengairan.
Mohammad Nizar memaklumkan, kapasiti simpanan air di lokasi tersebut berada pada bacaan 27.1028 juta meter padu atau 49.74 peratus.
“Walaupun aras semasa masih melepasi paras berjaga-jaga pengairan, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan bekalan air bagi keperluan sektor pertanian khususnya di kawasan jelapang padi,” katanya lagi.
Pada Februari media melaporkan paras air Tasik Temengor berada pada tahap rendah susulan kekurangan kemasukan air semula jadi dari kawasan tadahan akibat taburan hujan yang berkurangan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


