Op Toyu: Pegawai kanan Imigresen antara 10 ditahan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan agensi itu dalam operasi khas “Op Toyu” di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Penahanan itu sekaligus membongkar sindiket penyeludupan migran yang dipercayai menyebabkan ketirisan hasil negara mencecah RM4.1 juta.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pada pukul 12.50 tengahari itu dilaksanakan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menurutnya, antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’, selain seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’.

“Turut ditahan lima lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan serta seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai berperanan sebagai ‘pemudah cara’ dalam kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan awal mendapati seorang daripada warga India yang ditahan merupakan individu disenaraihitam, manakala warga Pakistan menggunakan e-visa dipercayai palsu, sementara yang lain adalah imigran larangan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan Malaysia-Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah INR30,000.

Sebuah Nissan Sentra dan dua motosikal jenis Honda Wave serta Honda EX5 turut dirampas.

Zakaria berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi membawa masuk warga asing khususnya dari India melalui pintu darat secara terancang dengan bantuan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi.

“Mereka kemudian mendapatkan endorsement daripada pegawai terlibat walaupun tidak memenuhi syarat kemasukan,” katanya.

Menurut beliau, sindiket itu mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap individu dengan RM400 disalurkan kepada pegawai bagi setiap pasport dan dipercayai beroperasi sejak awal tahun.

Dalam pada itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand ditahan di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala, seorang lagi lelaki tempatan ditahan di bawah Seksyen 26J akta sama.

“Lima lelaki warga India pula ditahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki warga Pakistan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut, manakala dua lelaki dan dua wanita tempatan turut dikeluarkan notis bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran termasuk pegawainya sendiri bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI