IPOH – Kerjasama yang terjalin antara Canning Machinery Solutions Sdn Bhd dan Chef Siew Cake Art & Culinary Sdn Bhd secara tidak langsung memperkasa elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperkukuh pembangunan tenaga kerja serta memodenkan industri bakeri di Perak.
Di samping itu, kerjasama tersebut turut memberi tumpuan kepada penajaan mesin bakeri moden serrta penjenamaan bagi menyokong aktiviti latihan, pendidikan dan operasi bakeri professional yang dijalankan di akademi berkenaan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong institusi pendidikan kulinari di negeri ini supaya terus menaik taraf kemudahan serta keupayaan masing-masing.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan sekolah-sekolah kulinari sentiasa selari dengan keperluan semasa industri, termasuk memperkukuh latihan pelajar menerusi penggunaan mesin dan peralatan moden.

“Kerajaan negeri bukan sahaja memberi bantuan penuh kepada full assistance will be given bukan sahaja kepada Canning Machinery Solutions dan Chef Siew Cake Art & Culinary, malah sekolah kulinari juga yang lain juga perlu menaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dan Penajaan antara Canning Machinery Solutions Sdn Bhd dengan Chef Siew Cake Art & Culinary Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Urusan Canning Machinery Solutions Sdn Bhd, Nang Yu Chuan dan Pengasas Chef Siew Cake Art & Culinary Sdn Bhd, Esben Siew Kok Wai.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti ini kerana mereka mempunyai teknologi yang sangat tinggi, tenaga mahir serta kursus yang wajar diceburi oleh para pelajar.

“PASAK juga ada memberikan kursus kulinari melalui modul-modul, mereka juga ada beri. Tetapi ini akan menjadi satu kelebihan tambahan kepada apa yang kita ada.
“Jadi PASAK akan duduk bersama mereka dan berbincang tentang kolaborasi di antara PASAK dan Kerajaan Negeri Perak. Kalau PASAK masuk, kerajaan negeri secara automatik terlibat,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendidikan Hulu Perak diperkasa menerusi kelas rancangan khas TVET–STEM


