HLEP pemangkin pertumbuhan ekonomi Hulu Perak, tenaga hijau negara

HULU PERAK dikenali sebagai daerah yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, daripada kawasan hutan hujan tropika sehingga kepada jaringan sungai yang menjadi nadi kepada kehidupan setempat.

Walaupun berada di kawasan luar bandar namun landskap ekonomi di daerah berkenaan kini berada pada titik perubahan apabila pembangunan berasaskan sumber semula jadi mula diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif strategik.

Justeru daerah yang meliputi kawasan termasuk di Gerik itu dilihat mempunyai kelebihan daripada sudut geografi dan seterusnya meletakkan ia sebagai aset ekonomi yang mampu menyokong agenda pembangunan negeri.

Perkembangan ini selari dengan keperluan masa kini yang semakin menuntut kepada keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian alam, khususnya dalam sektor penjanaan tenaga bersih.

Gambar fail. Pemandangan perkampungan Orang Asli Sungai Kelewang dari Tasik Temengor di Taman Negeri Royal Belum, Gerik. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 JANUARI 2025.

Dalam konteks semasa, Projek Hydro Life Extension Programme atau Program Pemanjangan Hayat Hidro (HLEP) yang dilaksanakan di daerah berkenaan melibatkan pelaburan besar bernilai RM5.8 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat, TNB Power Generation Sdn.Bhd. (TNB Genco) dengan kerjasama Konsortium Voith–HeiTech, melaksanakan projek berkenaan bagi enam stesen janakuasa hidroelektrik di bawah Skim Hidroelektrik Sungai Perak.

Ia bukan sahaja memfokuskan kepada peningkatan kecekapan sistem stesen-stesen janakuasa sedia ada, malah menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi di Hulu Perak secara menyeluruh.

Gambar fail. Kenaikan kadar tarif elektrik akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai hanya melibatkan sektor perindustrian, dengan 85 peratus daripada rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan itu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa pelaburan berskala besar ini dijangka memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada kawasan setempat, khususnya di Gerik dan daerah Hulu Perak.

Menurut beliau, projek tersebut akan menggerakkan keseluruhan ekosistem ekonomi melalui penglibatan pelbagai pihak dalam rantaian pelaksanaan.

“Dalam menjayakan usaha ini, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKPk) turut memainkan peranan penting dengan menyediakan fasiliti sokongan termasuk pembangunan penempatan pekerja serta kemudahan operasi yang diperlukan.

“Penganugerahan tanah bagi pembangunan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan projek berskala besar seperti ini dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

“Pelaburan berskala besar ini turut menggerakkan keseluruhan ekosistem ekonomi setempat melalui penglibatan pelbagai pihak dalam rantaian pelaksanaan,” katanya.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hadir ke Majlis Pecah Tanah Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek Hydro Life Extension Programme (HLEP) di Bandariang, Gerik,

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan Majlis Pecah Tanah Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek HLEP yang dibacakan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, di Gerik.

Saarani berkata, pembangunan projek itu turut akan merancakkan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk kerja sivil, elektro mekanikal, logistik serta perkhidmatan sokongan, sekali gus membuka ruang penyertaan lebih luas kepada syarikat tempatan.

Justeru kata beliau, projek HLEP ini juga memberi kesan rantaian yang positif dengan mengubah landskap sosioekonomi setempat apabila aktiviti ekonomi menjadi lebih aktif dan tersusun.

“Pergerakan tenaga kerja serta keperluan operasi harian akan meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

“Peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaksanaan projek ini turut membuka ruang kepada anak tempatan untuk terlibat dalam kerja-kerja teknikal dan sokongan operasi yang berkaitan.

“Penglibatan ini memberi pendedahan awal kepada kemahiran praktikal yang diperlukan dalam sektor tenaga,” katanya lagi.

Lonjakan ke arah ekonomi hijau

Dalam kerangka yang lebih luas, pelaksanaan HLEP dapat mengukuhkan lagi kedudukan Perak sebagai antara pemacu utama ekonomi hijau negara.

Ini kerana pembangunan hidroelektrik merupakan sumber tenaga boleh baharu yang stabil dan berdaya saing, berbanding sumber tenaga konvensional yang semakin terhad.

Gambar fail. Poin Pengecas Kenderaan Elektrik (EVCS) di perkarangan Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 MEI 2025.

Jelas Saarani, kelebihan itu memberikan nilai tambah strategik kepada negeri dalam menarik pelaburan, khususnya dalam sektor industri moden dan teknologi tinggi yang memerlukan sumber tenaga yang boleh dipercayai.

“Keperluan terhadap tenaga bersih semakin meningkat. Dalam konteks ini, hidroelektrik memberikan kelebihan strategik kepada negeri untuk terus berada pada landasan pembangunan yang mampan.

“Dalam memastikan kekuatan ini terus kekal relevan, ia memerlukan perhatian berterusan. Infrastruktur yang telah dibangunkan sejak sekian lama perlu dipelihara, ditambah baik dan dipanjangkan jangka hayat operasinya,” katanya.

Sementara itu Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, projek HLEP berperanan penting dalam menjamin kestabilan grid nasional dengan kapasiti penjanaan optimum sekitar 650.75 megawatt serta pengeluaran tenaga tahunan melebihi 2,200 gigawatt jam.

Ujar beliau, Fasiliti Penempatan Berpusat atau kuaters pekerja yang dibangunkan di Bandariang, Gerik bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu menstabilkan tenaga kerja serta memelihara keharmonian komuniti setempat.

projek HLEP Hulu Perak ekonomi hijau HLEP Perak hidroelektrik, projek TNB Hulu Perak, ekonomi hijau Malaysia, tenaga boleh baharu Perak, pelaburan RM5.8 bilion TNB, Gerik pembangunan ekonomi, Saarani Mohamad ekonomi hijau, tenaga hidroelektrik Malaysia
Unit contoh bagi Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek Hydro Life Extension Programme (HLEP) di Bandariang, Gerik.

“Kemudahan ini direka untuk menampung kira-kira 200 orang pekerja pada satu-satu masa, sekali gus menjadikannya antara penginapan pekerja berpusat yang signifikan,” ujarnya.

Pelaksanaan HLEP dan pembangunan fasiliti sokongan penempatan berpusat itu turut mencerminkan aspirasi dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ia selari dengan Prinsip Pertama dan Ketiga iaitu Keseimbangan Pembangunan Fizikal dan Sosioekomi serta Kelestarian Penggunaan Sumber dan Alam Semula Jadi.

Justeru, HLEP bukan sekadar projek menaik taraf infrastruktur tenaga, tetapi ia adalah pemangkin kepada transformasi ekonomi yang mampu mengubah landskap pembangunan di Hulu Perak

Menurusi pelaburan yang bernilai tinggi, perancangan strategik dan penglibatan pelbagai pihak, kawasan berkenaan dilihat berpotensi muncul sebagai pusat ekonomi baharu yang berteraskan kepada kelestarian dan inovasi tenaga. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

HLEP kukuhkan Perak sebagai hab tenaga hijau negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI