Kes buli MRSM: Tiada kompromi, tunggu laporan siasatan penuh – Exco

IPOH – Kerajaan Perak tidak akan berkompromi dengan sebarang kes buli di sekolah termasuk yang berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di negeri ini yang dikaitkan dengan foto tular memaparkan pakaian seragam pelajar koyak digunting.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan daripada pihak berkuasa sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

“Jika terbukti benar berlaku kes buli itu, maka proses selanjutnya akan diambil berdasarkan kepada pekeliling dan peraturan yang ditetapkan termasuk di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Namun yang pentingnya, kalau anda buat (pelajar yang didapati sebagai pelaku), anda akan terima akibat ‘you touch, you go’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Bicara One Third High Terima Kasih Cikgu dan Baiah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hotel MH, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Mengulas lanjut Khairudin berkata, usaha mendidik pelajar perlu menitikberatkan kepada keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah.

“Dalam kita hendak mendidik anak kita ini, ia bukan setakat cemerlang dari segi akademik tetapi mereka perlu mempunyai adab serta nilai yang cukup baik.

“Ini kerana perkongsian ilmu, adab dan nilai adalah elemen penting untuk menjadikan pelajar-pelajar ini seorang warganegara yang matang serta boleh bersesuaian dengan keadaan,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, pihak pengurusan MRSM terlibat telah menghantar laporan insiden itu dan siasatan telah disegerakan.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial Threads berkongsi keadaan pakaian adiknya, pelajar tingkatan satu di sebuah MRSM koyak dan rosak dipercayai akibat perbuatan buli, selain beberapa lagi barangan peribadi juga dirosakkan.

Hantaran itu mendapat respons Asyraf Wajdi yang menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi di bawah seliaan MARA dan tindakan tegas akan diambil ke atas pelajar terlibat. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak rekod 163 kes buli di sekolah tahun lalu – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI