GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Zoo Tennoji di Jepun menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus, tanggungjawab etika serta komitmen Malaysia terhadap kebajikan haiwan.
Setiausaha Kehormat CAP, S. Mageswari berkata, gajah merupakan haiwan yang memiliki tahap kecerdasan tinggi, bersifat sosial serta mempunyai keperluan psikologi, emosi dan persekitaran yang kompleks.
Justeru, katanya, sebarang pemindahan ke fasiliti zoologi luar negara perlu disokong dengan alasan yang jelas dan berasaskan bukti yang meletakkan kebajikan haiwan sebagai keutamaan.
“Kebimbangan yang dibangkitkan bukan semata-mata berkaitan kebajikan haiwan, sebaliknya turut mencerminkan tanggungjawab Malaysia sebagai penjaga khazanah hidupan liar negara.
“Ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan terhadap prinsip pemuliharaan beretika amat penting bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat.
“Malah, sehingga kini, justifikasi sedemikian masih belum dijelaskan secukupnya kepada umum,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Memgulas lanjut, beliau berkata, CAP mengambil maklum penjelasan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bahawa pemindahan itu dilaksanakan menerusi perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji secara perniagaan kepada perniagaan tanpa kementerian menjadi pihak penandatangan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu menimbulkan persoalan lanjut berhubung aspek pemantauan, akauntabiliti serta kecukupan langkah perlindungan dalam keputusan membabitkan hidupan liar yang mempunyai kepentingan kepada negara.
“CAP juga memandang serius kenyataan menteri bahawa permintaan penjelasan dan tindakan daripada pihak terlibat masih belum dipenuhi.
“Kekurangan ketelusan ini hanya meningkatkan keresahan awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menghargai komitmen menteri untuk mengutamakan kebajikan hidupan liar serta keterbukaan bagi mempertimbangkan semula perkara tersebut.
“Kami menggesa semua pihak berkaitan bertindak segera dan telus bagi memastikan hasil terbaik dapat dicapai untuk Dara, Amoi dan Kelat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan DAK yang kini ditempatkan di Jepun berada di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa yang dipersetujui antara Zoo Tennoji, Osaka dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT pada 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022.
Perjanjian terbabit adalah bagi tempoh 25 tahun.
Susulan itu, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan membawa pulang DAK kerana didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran di zoo itu. – MalaysiaGazette


