LARUT – Program Anak Angkat Pengguna Siswa @ Batu Kurau yang disertai mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) menjadi platform untuk mereka memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu kepenggunaan serta mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, anak-anak muda yang mempunyai ilmu dan kemahiran perlu memainkan peranan dalam membantu masyarakat, terutama ketika semakin ramai pengguna terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dan skim pelaburan.
Beliau turut menyeru agar golongan siswa menyebarkan kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mudah tertipu dengan pelbagai tawaran dan skim yang meragukan.
“Kita hendak anak-anak kita yang ada ilmu dan kemahiran ini membantu. Sekarang ini ramai pengguna di luar sana bukan sahaja tertipu kerana harga barang meningkat dan sebagainya, tetapi ramai juga yang terperangkap dan terpedaya dengan telefon pintar.
“Buka-buka sahaja, saya tengok dalam Telegram saya ini, ada satu dekat satu berpuluh-puluh skim pelaburan dengan pelbagai cerita kononnya boleh untung di sana dan sini. Esok keluar surat khabar, ada seorang bekas guru yang dapat duit pencen RM500,000 hangus dalam tempoh lima saat sebab dia tertipu dan terpedaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Anak Angkat Pengguna Siswa @ Batu Kurau di Kampung Sempeneh di Gelanggang Futsal Kampung Sempeneh Batu Kurau, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Datuk Kamalludin Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Mohd Kamal Yusri Awang Kamarudin.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri komited membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga murah menerusi pelbagai program jualan.
Katanya, terdapat pihak yang sanggup menanggung kerugian demi memastikan rakyat dapat membeli barang keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Saya sebut tadi kita kena bersyukur. Bukan semua dalam dunia ini ada gerak kerja masuk kampung keluar kampung jual barang pada harga murah. Mereka sangat sabar. Berpuluh ribu barang terjual, lagi banyak dijual lagi rugi sebab harga lebih rendah daripada harga pasaran,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui kerjasama dengan kementerian berkaitan telah mengambil keputusan untuk memperluaskan program jualan murah kepada rakyat.
“Dua hari lepas dalam mesyuarat Exco, kita buat keputusan bagi tanggungjawab kepada YB-YB (Yang Berhormat) untuk turun padang jual barang harga murah kepada orang ramai.

“Walaupun diesel mahal, kerajaan negeri tanggung harga diesel itu. Jual barang pada harga murah, jangan harga mahal sebab kerajaan negeri tanggung kos tersebut,” jelasnya.
Terdahulu media melaporkan, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.7 juta bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di seluruh negeri melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai bentuk jualan bersubsidi.
Peruntukan itu merangkumi RM2 juta bagi Pasar Sejahtera Rakyat Perak yang dilaksanakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah di semua daerah dengan kekerapan berkala setiap bulan.
Ini, diikuti RM1.2 juta bagi Jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan di kesemua 59 kawasan Dewan Negeri oleh Yayasan Bina Upaya bersama Perak SADC dan RM400,000 bagi Jualan Sejahtera Rahmah melalui Program Jelajah Sejahtera Desaku di kawasan luar bandar terpilih. – MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN:


