GPMS Perak bantah kelonggaran kemasukan UEC ke IPTA

IPOH – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak membantah keputusan kerajaan dalam memberi pengiktirafan terhadap pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menyambung pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini berkata, meskipun ia hanya dibuka kepada bidang tertentu seperti Pengajian Bahasa Cina dan Linguistik Cina, namun ia dikhuatiri membawa implikasi yang jauh lebih besar daripada sekadar isu kemasukan pelajar.

Katanya, asas kepada isu ini adalah jelas bahawa UEC diwujudkan sebagai peperiksaan persendirian untuk sekolah-sekolah yang memilih berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Justeru ujar beliau, perkembangan ini memberi isyarat seolah-olah negara mula menerima peperiksaan persendirian yang sejak awal berada di luar sistem nasional ke dalam institusi awam negara.

“Di sinilah kebimbangan terhadap proses ‘normalisasi’ UEC mula timbul. Hari ini diberi laluan untuk satu jurusan, esok akan timbul hujah kenapa tidak dibuka untuk jurusan lain pula.

“Selepas itu akan muncul pula naratif bahawa jika IPTA sudah menerima lepasan UEC dalam bidang tertentu, maka tiada lagi alasan untuk menolak pengiktirafan yang lebih luas.

“Akhirnya, sedikit demi sedikit, garis pemisah antara sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan persendirian akan mula kabur,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Gopeng menegaskan bahawa, pendidikan UEC tidak berada di bawah kawalan Kementerian Pendidikan (KPM) justeru itu ia tidak dibina berdasarkan kepada kerangka pendidikan nasional.

Kata beliau, selain tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, UEC pada dasarnya hanya dibenarkan wujud sebagai laluan alternatif, dan bukan sebagai kelayakan rasmi untuk sistem pendidikan tinggi awam negara.

Jelas Mohamad Faizal, tiada sesiapa yang mahu menghalang pelajar lepasan UEC daripada berjaya dalam akademik, malah kumpulan pelajar berkenaan sudah lama mempunyai laluan ke universiti luar negara, kolej swasta serta sektor pekerjaan antarabangsa.

Namun kata beliau, persoalannya bukan tentang peluang pendidikan, sebaliknya ia adalah tentang prinsip dasar negara.

Beliau berkata, mana Malaysia sudah mempunyai sistem arus perdana sendiri melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)yang dibina untuk tujuan penyatuan nasional, identiti kenegaraan dan hala tuju pembangunan negara.

“Jika hari ini kita mula melonggarkan asas tersebut sedikit demi sedikit atas tekanan politik, akhirnya kita sendiri akan menghakis sempadan yang selama ini membezakan antara sistem pendidikan kebangsaan dan sistem alternatif persendirian.

“Atas sebab itu, GPMS Perak berpandangan bahawa langkah membuka ruang kepada lepasan UEC memasuki IPTA, walaupun terhad kepada jurusan tertentu, bukanlah perkembangan yang positif dalam konteks dasar pendidikan negara.

“Ia mungkin kelihatan kecil hari ini, tetapi berpotensi membuka ruang kepada tuntutan yang lebih besar pada masa hadapan sehingga akhirnya prinsip asal sistem pendidikan kebangsaan menjadi semakin lemah dan kabur,”

Justeru Mohamad Faizal berkata, bantahan serius perlu digerakkan secara serius dan berprinsip di samping Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu disedarkan bahawa keputusan yang dibuat kabinet bukan sekadar isu kemasukan pelajar ke jurusan tertentu.

Kata beliau, ia bakal membuka bahana baharu kepada sistem pendidikan negara dalam jangka panjang.

“Apa yang dilihat kecil hari ini boleh menjadi titik mula kepada tekanan yang lebih besar untuk pengiktirafan penuh UEC pada masa hadapan.

“Kita tidak boleh terus berkompromi sehingga asas pembinaan negara menjadi semakin longgar hanya kerana tekanan politik dan tuntutan komuniti tertentu.

“Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan kebangsaannya sendiri yang dibina atas semangat Perlembagaan, Bahasa Kebangsaan dan identiti nasional,” tegasnya.

Pada Khamis media melaporkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/ UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kerajaan didakwa terima UEC dalam dasar pendidikan negara – Syed Hassan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI