IPOH – Seorang jururawat yang baru sahaja menamatkan syif malam bertindak memberikan pertolongan cemas kepada seorang wanita yang tiba-tiba tercekik ketika menjamu selera di sebuah kafe berhampiran ruang menunggu Hospital Pantai Ipoh di sini baru-baru ini.
Tindakan pantas Siti Maisyura Anwar, 26, membuktikan bahawa tanggungjawab seorang petugas kesihatan untuk menyelamatkan nyawa tidak berakhir walaupun ketika berada di luar waktu bertugas.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, 4 Mei lalu, jururawat yang bertugas di wad 2B surgical ward (wad pembedahan) itu sedang menunggu keputusan ujian darah janji anak lelakinya yang berusia sembilan bulan serta menetapkan tarikh janji temu akan datang di klinik yang terletak berhampiran kafe tersebut.
Menurutnya, keluarga wanita terbabit yang kelihatan panik segera meminta bantuan selepas melihat mangsa sukar untuk bernafas dan berada dalam keadaan yang membimbangkan.

“Mula-mula saya dengar wanita (mangsa) batuk beberapa kali kemudian bunyi suaranya mula berubah menjadi high pitch (nyaring) dan jelas menunjukkan saluran pernafasan telah tersekat.
“Saya yang pada ketika itu berada berhampiran terus bertindak melakukan heimlich maneuver kerana sebagai jururawat, naluri saya adalah membantu apabila berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pantai Ipoh.
Menurutnya, teknik bantuan kecemasan itu dilakukan selama kira-kira dua minit sebelum mangsa kembali bernafas dengan normal.
Selepas itu, beliau turut menasihatkan mangsa supaya tidak makan atau minum dan segera mendapatkan pemeriksaan lanjut di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
“Ini kali pertama saya melakukan heimlich maneuver di luar waktu kerja. Di wad, kami memang kerap berdepan situasi kecemasan dan sentiasa menjalani latihan Basic Life Support (BLS), termasuk CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan heimlich maneuver setiap bulan.
“Lesen BLS juga perlu diperbaharui setiap dua tahun,” kata anak bongsu daripada tujuh adik beradik yang berasal dari Batu Gajah itu.

Siti Maisyura yang telah berkhidmat hampir tiga tahun di hospital berkenaan berasa amat bersyukur kerana ilmu yang dipelajari dapat digunakan untuk menyelamatkan nyawa seseorang.
“Sebagai jururawat, perkara paling penting ketika kecemasan ialah kekal tenang dan tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Terdahulu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian tersebut mendapat perhatian ramai selepas kisah itu dikongsikan oleh pasukan pemasaran Hospital Pantai Ipoh dan tular di media sosial.
Rata-rata netizen memuji tindakan pantas Siti Maisyura yang tampil memberikan bantuan kecemasan kepada wanita terbabit walaupun ketika berada di luar waktu bertugas.
Bersempena sambutan Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei lalu, pihak hospital turut menyampaikan penghargaan khas kepadanya.

Hameeth Shah Abd Wahid (kanan) menyampaikan tanda penghargaan kepada Siti Maisyura sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei lalu. Foto Hospital Pantai Ipoh
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Hospital Pantai Ipoh, Cheong Siew Fong mewakili seluruh hospital meluahkan rasa bangga dengan tindakan yang dilakukan Siti Maisyura sewaktu saat kritikal itu.
Katanya, dari sudut profesion kejururawatan, tindakan beliau adalah petanda positif dan wajar dijadikan suri teladan kepada jururawat lain serta generasi jururawat pada masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harimau belang hampiri pasukan UKHM, video detik cemas tular


