LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel pukat tunda tempatan dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.5 juta kerana disyaki melanggar syarat lesen dalam operasi penguatkuasaan di perairan Pulau Nipis, dekat sini petang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel kelas B1 itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang pada kedudukan sekitar 5.7 batu nautika barat pulau berkenaan menerusi Op Sayong dan Op Khas Tanjung 2.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika dari daratan terhampir selain menggunakan saiz mata pukat kurang daripada 38 milimeter, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Vesel itu dikendalikan lima kru termasuk tekong, semuanya warga tempatan. Turut dirampas ialah kira-kira 100 kilogram (kg) ikan campur, 150 kg ikan baja termasuk vesel serta peralatan menangkap ikan mencecah lebih RM1.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua kru bersama vesel telah diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram.
“Kita akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara serta aktiviti penangkapan ikan dijalankan mengikut undang-undang,” tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


