IPOH – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan merempuh sebuah bangunan di Jalan Sultan Idris Shah di sini petang tadi selepas dipercayai mengalami masalah pada sistem stereng.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku ketika seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun sedang memandu SUV jenis Chery dari Medan Istana menuju ke pejabatnya di Jalan Sultan Nazrin Shah melalui Jalan Sultan Idris Shah.
Menurutnya, ketika tiba di persimpangan Jalan Raja Ekram, kenderaan tersebut dipercayai mengalami kerosakan pada sistem stereng sehingga menyebabkan pemandu hilang kawalan.
“Kereta itu kemudian terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar bangunan yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan namun kenderaannya mengalami kerosakan pada bahagian bampar hadapan, kedua-dua lampu utama, bonet serta fender hadapan kiri dan kanan.
Tambahnya, pihak polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil gambar bagi tujuan dokumentasi.
“Kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 dan satu saman telah dikeluarkan kepada pemandu terbabit,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya semua pemilik kenderaan supaya sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di jalan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


