BUKAN mudah bagi pemilik Naz Pastry, Nazlil Zita Lot Ismail, 54, untuk terus kekal relevan dalam industri pembuatan roti dan pastri yang diceburinya sejak 27 tahun lalu.
Namun, segala penat jerih dan pengorbanan yang dilalui sepanjang tempoh itu menjadi pengalaman berharga dalam membina jenama perniagaannya sehingga dikenali pelanggan hari ini.
Nazlil Zita berkata, perniagaannya bermula secara kecil-kecilan dari rumah di Batu Gajah dengan bermodalkan RM50 untuk membeli bahan asas membuat kek dan pastri bersama ibunya.
Memiliki kelulusan Sijil dalam Eastern and Western serta Diploma in Chef Training dari Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), beliau berkata, pengalaman bekerja di beberapa hotel di Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh dan Pulau Pangkor banyak membantu memperkukuhkan kemahirannya dalam bidang tersebut.

Dulu krim paf 25 sen, kini lebih RM1
Katanya, perjalanan membangunkan perniagaan itu penuh cabaran apabila terpaksa berpindah sebanyak 11 kali sejak tahun 1999 sebelum akhirnya menjalankan perniagaan di Taman Meru Perdana 2, Ipoh.
Tambahnya, setiap kali berpindah beliau belajar perkara baharu berkaitan pasaran, pelanggan dan strategi jualan yang secara tidak langsung membantu dalam mengembangkan perniagaannya.
“Dari rumah, saya berpindah ke Puncak Jelapang, kemudian ke Manjung, Seri Iskandar dan beberapa lokasi lain sebelum akhirnya menetap di Meru Perdana ini kerana mahu menjaga ibu.
“Langkah pertama saya dalam industri ini bermula dengan menjual kek di pasar malam dan pasar tani sekitar Ipoh.
“Kira-kira 20 tahun lalu, orang ramai susah untuk menerima produk pastri yang diusahakan orang Melayu kerana kebanyakan pastri moden masih belum dikenali ramai,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, baru-baru ini.

Katanya, selepas beberapa minggu mencuba, barulah pelanggan mula memberi maklum balas positif terhadap produk jualan yang dihasilkannya seperti pai, krim paf dan pavlova walaupun makanan tersebut kurang mendapat sambutan pada waktu itu.
“Orang tak kenal pavlova masa itu. Krim paf pun susah nak jual. Dulu satu biji cuma 25 sen, sekarang lebih RM1.
“Tapi saya jual sikit-sikit dahulu. Lama-lama dapat banyak tempahan sampai krim paf boleh bagi pendapatan RM300 sehari walaupun harga murah,” ujarnya.
10 tahun buka kedai di Manjung
Beliau berkata, perkembangan positif itu mendorongnya membuka kedai di Manjung dan berniaga di sana selama kira-kira 10 tahun.
Bagaimanapun, katanya, tempoh lima tahun pertama adalah fasa paling mencabar kerana pelanggan masih belum mengenali produknya.

“Saya mula bawa oven, mixer dan sebuah peti ais dari rumah ke Manjung. Dalam kedai cuma ada meja sahaja ketika itu. Daripada situ kami berkembang sedikit demi sedikit sehingga dapat membeli lima peti ais dan pelbagai peralatan lain,” katanya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, segala aset dan peralatan perniagaan diperoleh hasil keuntungan jualan serta pinjaman awal sebanyak RM20,000 daripada Credit Guarantee Corporation (CGC).
“Itulah aset pertama saya untuk beli oven dan mixer. Lepas itu memang tiada bantuan lain. Semua kami pusing balik modal perniagaan,” jelasnya.

Biskut raya antara penyumbang utama
Nazlil Zita berkata, jualan biskut raya menjadi antara penyumbang utama kepada perkembangan perniagaannya apabila menerima pelanggan setiap kali musim perayaan.
“Setiap kali raya memang kami guna keuntungan itu untuk beli aset baharu. Tahun ini jualan raya melebihi sasaran lebih RM50,000.
“Alhamdulillah, duit itu kami gunakan semula untuk tambah baik kedai dan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara kekuatan Naz Pastry ialah mengekalkan produk tradisional yang masih mendapat permintaan pelanggan sehingga kini.
Katanya, produk seperti butter cake, kek gulung dan chiffon cake tidak pernah dihentikan pengeluarannya walaupun trend pastri moden sentiasa berubah.

“Produk lama saya tak pernah tinggal sebab permintaan tetap ada. Orang masih cari butter cake, kek gulung dan chiffon cake kami.
“Trend baharu memang kita ikut, sebab itu sekarang kami tambah cinnamon roll yang dijual pada harga RM7.50 sebiji,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, beberapa resipi kuih tradisional keluarga yang diwarisi sejak empat generasi turut menjadi identiti utama perniagaannya.

“Macam biskut semperit ini, resipinya daripada arwah nenek kepada mak saya, kemudian kepada saya dan sekarang anak saya pula buat.
“Bukan senang nak hasilkan semperit orang dulu-dulu ini, tapi mak saya masih ada dan dialah yang ajar kami sampai mahir,” ujarnya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mereka yang berminat untuk menceburi dunia bakeri dan pastri supaya tidak terlalu mengejar keuntungan atau populariti dalam tempoh singkat.
Menurutnya, kejayaan dalam bidang tersebut memerlukan kesabaran, komitmen dan ketekunan untuk bertahan dalam jangka masa panjang bagi memastikan perniagaan mampu kekal stabil dan terus berkembang pada masa akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Sampah itu adalah duit’: Manjula bina rezeki keluarga melalui kitar semula


