DI SEBALIK timbunan botol plastik, besi buruk dan kotak terpakai, tersimpan perjuangan sebuah keluarga yang tekad menjadikan bahan buangan sebagai sumber pendapatan sambil membantu mengurangkan sisa pepejal melalui amalan kitar semula.
Berpegang kepada prinsip bahawa setiap bahan buangan mempunyai nilai, usahawan kitar semula, S Manjula, 42, membuktikan bahawa usaha memelihara alam sekitar mampu membuka ruang ekonomi yang mampan.
Perniagaan kitar semula di bawah syarikat Nhavin Enterprise yang diusahakan Manjula di Kamunting Jaya, Taiping itu bukan sekadar sumber pendapatan, malah menjadi perusahaan keluarga yang melibatkan suami dan anak-anak.
Setiap ahli keluarga memainkan peranan dalam proses pengumpulan, pengasingan dan penjualan bahan kitar semula menyemai nilai kerja keras dan tanggungjawab mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

Kitar semula bantu meminimumkan penggunaan tapak pelupusan
Berteraskan slogan ‘Sampah itu adalah duit’, perniagaan ini memperlihatkan bagaimana bahan yang sering dianggap tidak berguna sebenarnya mampu mengurangkan pencemaran, meminimumkan penggunaan tapak pelupusan dan mewujudkan ekonomi hijau yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Ibu kepada empat anak ini berkata, perniagaan itu mula diusahakan bersama suami, K Kannan, 50, pada tahun 2011 yang turut dibantu anak sulung, K Kogila, 24, dan anak kedua, K Shanmugamnathan, 23.
“Kedua-dua mereka (anak) memilih untuk membantu kami selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana sejak kecil lagi mereka telah dididik tentang industri kitar semula.
“Walaupun ramai menganggap kerja ini kotor dan berbau, kami mengajar anak-anak bahawa daripada sampah itulah datangnya rezeki sebab itu slogan kami ialah ‘Sampah itu adalah duit’,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kamunting Jaya, Taiping hari ini.

Menurutnya, bahan kitar semula ada yang dihantar terus ke premis mereka dan ada juga yang dikutip di lokasi seperti rumah, stesen minyak, pejabat dan sekolah terutamanya di sekitar daerah Larut Matang dan Selama (LMS).
“Kami membeli pelbagai bahan kitar semula seperti besi, plastik botol, tin susu, tong sabun, kotak dan kertas lama. Semua akan diasingkan mengikut jenis seperti besi, zink, tin, kertas dan plastik sebelum dihantar ke pusat pemprosesan.
“Dalam tempoh dua hari, kami boleh mengumpul sehingga dua tan besi dan satu setengah tan kotak. Bagi plastik pula, kami boleh dapat dalam tiga tan setiap minggu.
“Itu sahaja sebab kami sentiasa kena ada cash flow (aliran tunai). Kalau tak ada cash flow, kita memang tak boleh berniaga. Ini adalah konsep saya,” jelasnya yang mesra dengan panggilan Kak Manju.

AIM beri pinjaman RM2,000 kembangkan perniagaan
Beliau yang menjadi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Taiping sejak 2016 berkata, institusi berkenaan banyak membantunya dalam memberi kemudahan pembiayaan (pinjaman) khas untuk membantu mengembangkan perniagaan tersebut.
“Pada awalnya, saya menerima pinjaman RM2,000 daripada AIM dan modal itu digunakan untuk membeli barang-barang kitar semula untuk memproses serta mengagihkannya ke tempat melebur.
“Dari situ kami mula memperoleh pendapatan yang baik dan nampak duit itu berkembang dan kemudian, kami telah menerima pinjaman sebanyak RM30,000 serta sedang melunaskan bayaran balik seminggu sekali tanpa culas.
“Bagi memastikan saya boleh membayar semula pinjaman daripada AIM, saya menetapkan 30 peratus keuntungan bagi setiap urus niaga.

“Walaupun harga pasaran berubah-ubah, margin keuntungan itu kekal dan membantu memastikan cash flow perniagaan sentiasa stabil,” ujarnya.
Mula kutip ‘barang’ sekitar rumah
Mengimbau detik awal pembabitannya dalam perniagaan tersebut, Manjula berkata, kesempitan hidup yang pernah dilalui mendorongnya untuk mencari jalan keluar bagi mengubah nasib mereka sekeluarga.
“Saya mula menceburi bidang ini ketika berada dalam kesusahan hidup. Pada suatu hari, saya melihat seorang auntie (makcik) Cina kutip tin-tin minuman dan menjualnya di pusat kitar semula.
“Kemudian saya terfikir, ‘kenapa dia boleh kutip, saya tak boleh kutip?’ Dari situ saya dan suami mula kutip barang di sekeliling kawasan rumah. Hasil jualan daripada barang kutipan itu nampak berbaloi kerana boleh beli beras, minyak dan gula.

“Dari situ saya sedar bahawa kitar semula bukan sahaja memberi pendapatan, malah membantu mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan di sekitar Perak,” katanya.
Jangan pandang rendah pada nilai bahan buangan
Dalam pada itu, Manjula menasihatkan masyarakat supaya tidak memandang rendah terhadap nilai bahan buangan, sebaliknya memanfaatkannya melalui amalan kitar semula yang bukan sahaja boleh menjana pendapatan, malah membantu memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
“Botol-botol plastik yang dibuang ke sungai dan longkang boleh dikumpul, dijual dan dikitar semula. Kalau boleh, kita nak kumpul sampah sarap ini yang boleh buat duit bagi membantu mengurangkan sampah sarap di sekeliling kita,” ujarnya.

Baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Sahabat Usahawan AIM Cemerlang Negeri Perak yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pelancaran Skim PADURI MADANI AIM di Ipoh.
Usaha Manjula sekeluarga mewujudkan perniagaan kitar semula ini selari dengan Agenda Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menetapkan prinsip ‘Kelestarian Penggunaan Sumber dan Alam Semula Jadi’ sebagai salah satu tunjang utamanya.
Ia memberi fokus kepada keseimbangan antara penerokaan ekonomi, sekuriti makanan, dan pemuliharaan alam sekitar untuk menjamin kesejahteraan jangka panjang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Usahawan Felcra Seberang Perak olah ‘daun‘ jadi produk kraf eksklusif


