GERIK – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 10 meter di Puncak Gerik, Lebuhraya Timur Barat, di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.09 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Kawasaki Z250 yang terbebas ke dalam gaung bersama seorang penunggang motosikal berusia 26 tahun.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi membawa naik mangsa ke atas jalan raya dengan menggunakan pengusung dengan melalui laluan longkang bertingkat,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.

Pasukan bomba membawa keluar penunggang motosikal yang maut selepas terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Puncak Gerik, Lebuhraya Timur Barat, Gerik. Foto JBPM Perak
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Damanhuri Abd Karim itu tamat pada jam 11.58 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga individu cedera, Myvi jatuh gaung


