TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu, diteruskan secara lebih bersasar dengan tumpuan diberikan kepada sebarang maklumat dan petunjuk baharu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah akan menyelaras SAR serta mengumpul input terkini bagi membantu usaha pencarian mangsa.
“Sekiranya terdapat penemuan atau petunjuk baharu yang dibantu oleh masyarakat setempat, komuniti Orang Asli serta Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang masih aktif melakukan pencarian, tindakan susulan akan diambil.
“Justeru, fokus operasi selepas ini adalah berdasarkan kepada maklumat baharu yang diterima, dan ia akan diselaraskan oleh pihak bomba,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Operasi SAR Mangsa Hilang Gunung Batu Putih di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, semua pergerakan membabitkan pasukan pencarian selepas ini juga perlu diselaraskan bersama Jabatan Perhutanan Negeri kerana lokasi operasi berada dalam kawasan Hutan Simpan Kekal.
Jelas Sabarodzi, penyelarasan itu penting bagi mengatur kemasukan pasukan kecil ke kawasan pencarian selepas skala operasi SAR dikecilkan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan operasi pada Rabu.

“Jika ada mana-mana pihak sukarelawan yang berhasrat untuk masuk ke lokasi untuk membantu pencarian, mereka perlu melaporkan diri terlebih dahulu kepada Jabatan Perhutanan dan pihak bomba, kecuali penduduk setempat yang sememangnya dibenarkan memasuki kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu beliau berkata, seramai lapan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (STORM) bersama dua MGP masih berada di lapangan dan dijadual meneruskan pencarian sehingga petang Khamis.
Sabarodzi berkata, kumpulan berkenaan sedang menjalankan pencarian di sektor berhampiran puncak Gunung Batu Putih yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kepada laluan yang dipercayai digunakan mangsa.
“Sehingga pagi Rabu, pesawat AgustaWestland (AW139) telah berjaya membawa keluar seramai 23 anggota yang terdiri daripada pegawai JBPM, Jabatan Perhutanan dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan selamat.
“Selepas ini, pesawat berkenaan hanya akan digunakan atas permintaan sekiranya terdapat penemuan atau petunjuk baharu yang memerlukan bantuan aset udara,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


