IPOH – Penemuan spesies halia baharu dikenali sebagai Alpinia lenggongensis di kawasan Banjaran Bintang, Lenggong membuktikan hutan di negeri ini masih menyimpan khazanah biodiversiti yang sangat bernilai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, spesies berkenaan ditemukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di kawasan berketinggian antara 400 hingga 800 meter dari paras laut.
“Selain kemajuan teknologi, Perak turut bertuah kerana dikurniakan khazanah alam yang istimewa dari sudut geologi, flora dan fauna. Pada hari ini, kita akan diperkenalkan dengan satu spesies halia baharu, iaitu Alpinia lenggongensis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Perak Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.
Katanya, penemuan Alpinia lenggongensis turut memperkukuh kedudukan Lenggong sebagai khazanah alam, sejarah dan ilmu yang cukup istimewa.
Spesies tersebut adalah salah satu genera terbesar dalam keluarga halia yang tumbuh di lereng sungai biasanya antara lima hingga sentimeter dari pinggir sungai.
Alpinia lenggongensis mempunyai ciri barakteol yang nipis dan lutsinar, tangkai daun yang memanjang dengan ketara serta pangkal daun bertali dalam yang tidak dikongsi oleh mana-mana spesis Alpinia di Semenanjung Malaysia, sekali gus menyokong pengiktirafannya sebagai spesis berbeza. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Orang Asli wajar dilibatkan dalam pengurusan pendakian, operasi – Saarani


