KEPALA BATAS – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai ibu kandung kepada seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada 21 April lalu.
Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) memaklumkan, bayi berkenaan dilahirkan kira-kira 8 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Relau, Bayan Lepas.
Menurut kenyataan itu, siasatan yang dijalankan oleh Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah SPU mendapati bayi tersebut telah ditinggalkan kepada seorang rakan yang juga warga Indonesia sejurus selepas dilahirkan.
“Wanita yang dicari dikenali sebagai Siti Kuntama dan merupakan warga Indonesia. Tiada sebarang maklumat lanjut mengenai ibu kandung yang diperolehi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, permohonan pengecualian di bawah Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan bagi membolehkan siaran media berhubung kes berkenaan dikeluarkan.
Sehubungan itu, waris atau orang ramai yang mengenali wanita terbabit diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah SPU, Norpatin Bakar di talian 04-575 8715 atau 04-575 8716, atau melalui e-mel norpatin@jkm.gov.my. – MalaysiaGazette


