SAR Jaslinda: Beberapa barangan ditemukan, namun bukan milik mangsa

TAPAH – Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih pada 24 Mei lalu, di sini menemukan beberapa barangan di beberapa lokasi berbeza di kawasan pencarian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bagaimanapun barangan yang ditemukan disahkan bukan milik wanita yang hilang itu.

“Terdapat beberapa penemuan barangan di beberapa lokasi seperti di kawasan sungai, lereng bukit dan laluan yang ditempuhi (pasukan SAR).

“Namun selepas dipastikan, barangan tersebut bukan milik orang hilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sehingga Khamis, seramai lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM bersama dua anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) masih terlibat dalam operasi pencarian yang dikecilkan skala.

Menurut beliau, kesemua anggota terbabit berjaya keluar dari sektor pencarian dengan selamat pada jam 11.30 pagi selepas selesai melaksanakan tugasan masing-masing di lokasi yang ditetapkan.

Sabarodzi berkata, kumpulan komuniti Orang Asli yang turut membantu operasi sejak 3 Jun lalu masih berada di kawasan pencarian, namun setakat ini belum terdapat sebarang petunjuk baharu atau penemuan berkaitan mangsa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, JBPM Perak juga menerima banyak permohonan daripada sukarelawan yang ingin menyertai operasi SAR berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil tapisan dan penyelarasan bersama pihak Jabatan Perhutanan Negeri, terdapat permohonan yang tidak terpaksa ditolak atas beberapa kriteria.

“Antaranya, tidak memenuhi beberapa syarat ditetapkan termasuk aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tempoh masa yang tidak sesuai serta kekurangan peralatan dan kelengkapan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga beberapa kumpulan yang dibenarkan menyertai operasi selepas permohonan mereka memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan Jaslinda telah menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain bersama dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, kemudian dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, Jaslinda meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI