IPOH – Perak terus mengekalkan prestasi pelaburan memberangsangkan apabila merekod jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM1.76 bilion bagi suku pertama 2026, sekali gus meneruskan momentum positif yang direkodkan tahun lalu.
Berdasarkan laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah itu meningkat RM340 juta berbanding RM1.42 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan hampir 24 peratus itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri serta keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkukuh persekitaran pelaburan di Perak.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan pelaburan negeri bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM946.7 juta dan RM818.3 juta.
Selain itu, sebanyak 98 projek pelaburan telah diluluskan di Perak sepanjang suku pertama tahun ini merangkumi pelbagai sektor ekonomi yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan industri, pewujudan peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi setempat.
Prestasi tersebut turut meneruskan pencapaian memberangsangkan Perak sepanjang tahun lalu apabila negeri ini merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM15.76 bilion menerusi 560 projek, sekali gus meletakkan negeri ini antara destinasi pelaburan yang terus mendapat perhatian pelabur domestik dan asing.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian berkenaan membuktikan keyakinan berterusan pelabur terhadap kestabilan negeri, keberkesanan dasar yang dilaksanakan serta hala tuju pembangunan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.
“Setiap pelaburan yang berjaya dibawa masuk membawa harapan yang lebih besar, membuka peluang pekerjaan, memperkukuh ekonomi setempat dan memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak Perak membina masa depan di negeri sendiri.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi yang dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan memastikan pembangunan Perak terus bergerak di landasan yang tepat,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di halaman Facebook milik beliau.
Kerajaan negeri sebelum ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pelaburan melalui pembangunan kawasan pertumbuhan strategik, penyediaan infrastruktur sokongan serta pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri bernilai tinggi.
Pencapaian suku pertama 2026 itu dilihat sebagai petunjuk awal yang positif kepada prestasi pelaburan negeri bagi keseluruhan tahun ini, sejajar aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat. -MGPerak


