IPOH – Sebanyak 498 daripada 600 aduan berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Perak sepanjang tiga siri penganjuran Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) bermula awal tahun hingga kini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, manakala baki 102 aduan masih dalam proses tindakan lanjut.
Menurutnya, sebanyak 262 aduan telah diterima pada hari ini dan adalah yang tertinggi setakat penganjuran program HBP.
“Penganjuran program MESRA HBP ini adalah manifestasi komitmen yang berterusan daripada kerajaan negeri untuk menyantuni rakyat, serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, lebih responsif dan berfokuskan kepada keperluan masyarakat.

“Setakat siri ketiga, kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah 600 aduan dengan 498 daripadanya, iaitu 83 peratus telah diselesaikan manakala baki lagi 102 masalah atau aduan, iaitu 17 peratus, masih dalam proses tindakan lanjut.
“Ini menunjukkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap program ini sebagai platform yang berkesan untuk menyuarakan permasalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 4 Tahun 2026, di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.
Katanya, program kali ini menampilkan 100 kaunter khidmat pelanggan, 10 kaunter bergerak, sembilan gerai pameran disertai dengan jualan murah dan juga Jualan Rahmah. – MG Perak


