Sultan Perak berkenan rasmi Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah

IPOH – Pusat rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara, Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Meru Raya kini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah.

Pemasyhuran nama pusat rehabilitasi  tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO, di sini, pada Selasa.

Berangkat mengiringi Sultan Nazrin ke majlis, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pembangunan pusat rehabilitasi berkenaan telah bermula sejak dari 2 Mei 2022 dan siap dalam tempoh empat tahun di atas tanah berkeluasan 15.57 hektar, dengan kos yang meliputi tanah, bidaan dan peralatan bernilai hampir RM1 bilion.

Antara keunikan bangunan berkenaan adalah ia dibina dengan menggabungkan elemen warisan budaya negeri Perak menerusi seni kraf Tekat Timbul Benang Emas serta reka bentuk futuristik moden.

Ia dibangunkan dengan 13 blok utama termasuk kemudahan penginapan, ‘Traditional and Complementary Medicine Center’ (TCMC) serta ‘Motorcycle Safety Training Track’ (MSTT) di bawah ‘Centre for Applied Prevention in Social Security’ (CAPSS).

Antara kemudahan canggih yang terdapat di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah termasuk perkhidmatan neuro-robotik dan sibernik yang menggunakan teknologi ‘Cyberdyne Hybrid Assistive Limb’, ‘Metamotus Galileo Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform’, dan ‘Advanced Movement Analysis Laboratory’.

Pusat rehabilitasi itu juga dilengkapi 65 dengan unit peralatan ‘Cyberdyne’, meliputi ‘lower limb’, ‘single joint’, dan ‘lumbar’ menjadikan pusat itu sebagai pusat terbesar dengan bilangan unit ‘Hybrid Assistive Limb’ terbanyak di dunia.

Selain itu, Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah turut menyediakan 151 jenis perkhidmatan rehabilitasi komprehensif merangkumi rehabilitasi pediatrik, geriatrik, Advanced Ready To Work (RTW), serta rehabilitasi vokasional.

Sejak beroperasi secara berperingkat bermula 22 Julai tahun lalu, pusat rehabilitasi itu telah memberi rawatan kepada 1,095 pesakit yang merangkumi kes-kes utama seperti kecederaan muskuloskeletal, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti strok.

Dengan kapasiti memberi rawatan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa, fasiliti di pusat rehabilitasi itu  mampu menampung sehingga 3,000 pesakit setiap tahun. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

7-Eleven, PERKESO jalin kerjasama bantu pencarum kembali bekerja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI