IPOH – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes kejadian kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang pelajar tingkatan lima di Taman Jati, Meru, pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pada masa ini siasatan masih giat dijalankan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
“Kita sedang menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin dan akan dipanjangkan kepada TPR.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Taman Chepor Sentosa, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) di premis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Siasatan akan melalui pelbagai sudut termasuklah melibatkan kawasan persekitaran.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang dan akan menjalankan siasatan secara telus,” ujarnya.
Pagi tadi, pegawai kanan polis terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan mangsa yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Jumaat.
Sementara itu, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, secara tiba-tiba rebah sewaktu Ketua Polis Perak tiba di rumahnya sekitar jam 5 petang tadi.
Pesara tentera berusia itu ditenangkan anggota keluarga dan pegawai polis yang hadir sebelum dipimpin serta duduk dikerusi.
Malah, dia kelihatan beremosi ketika menceritakan tragedi sedih yang menimpa anak bongsunya itu.
“Sampai hati dia buat macam ini dekat anak saya,” katanya dalam keadaan sebak.
Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, Muhd Zamrie hanya mahukan satu siasatan telus dijalankan agar keadilan dapat dibuktikan atas kematian anaknya.
“Saya tak mahu kejadian sama berulang dan jadi pada anak-anak orang lain,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh turut melawat keluarga mangsa dengan memberi kata-kata semangat serta turut menyumbangkan sumbangan peribadi kepada wakil keluarga mangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan: