BAYAN LEPAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan maut di tingkat lima sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini selepas dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di tingkat 24, malam tadi.
Mangsa berusia lima tahun ditemukan orang awam kira-kira jam 11.30 malam sebelum melakukan panggilan kecemasan menerusi MERS 999 bagi memaklumkan kejadian.
Difahamkan, hasil pemeriksaan polis serta pasukan forensik di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau berada di lokasi kejadian bagi membantu setakat yang mampu.
“Moga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran,” katanya. – MalaysiaGazette


