IPOH – Pertubuhan Pemandu Lori dan Bas Negeri Perak menyokong usaha Bukit Aman untuk melaksanakan sistem pemprofilan individu, syarikat dan kenderaan perdagangan bagi menangani isu pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menegaskan pelaksanaan sistem berkenaan perlu dibuat secara adil, menyeluruh dan bertanggungjawab dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada pemandu semata-mata.
Ketua Penerangannya, Muhammad Firdaus Khan berkata, pendekatan yang hanya menumpukan kepada pemandu tanpa mengambil kira peranan dan tanggungjawab syarikat pengangkutan tidak memadai bagi menyelesaikan punca sebenar masalah.
Menurut beliau, sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas dan menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat dalam rantaian operasi pengangkutan perdagangan.
“Sekiranya seseorang pemandu didapati memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol, siasatan juga perlu diperluaskan kepada syarikat yang menggaji, mengurus dan mengarahkan pemandu tersebut (bekerja).
“Syarikat tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab sekiranya terdapat unsur kecuaian, kegagalan pemantauan, eksploitasi waktu kerja atau pengabaian terhadap kebajikan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang menyusun sistem pemprofilan individu, syarikat dan kenderaan perdagangan dalam usaha menangani isu pemandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, dilaporkan berkata, langkah itu antara usaha bagi memastikan pemantauan terhadap pemandu, majikan serta syarikat pengangkutan dapat dibuat secara lebih menyeluruh.
Mengulas lanjut Muhammad Firdaus berkata, golongan pemandu bas dan lori di negara ini memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian bekalan dan pergerakan ekonomi negara terus berjalan.
Tegas beliau, majoriti pemandu kenderaan berkenaan merupakan individu yang berintegriti, bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi undang-undang meskipun berdepan pelbagai cabaran ketika menjalankan tugas.
Ujar Muhammad Firdaus, imej dan maruah profesion pemandu lori serta bas tidak sepatutnya dipertaruhkan hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh segelintir individu.
Justeru itu beliau meminta kerajaan agar mewajibkan ujian saringan penyalahgunaan dadah dan alkohol secara berkala kepada semua pemandu kenderaan perdagangan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa berada pada tahap optimum.
“Kerajaan diminta untuk mengenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap syarikat yang gagal melaksanakan pemantauan dan kawalan dalaman terhadap pemandu mereka.
“Di samping itu kerajaan juga perlu menyemak semula dasar waktu kerja, tempoh pemanduan dan waktu rehat bagi mengelakkan keletihan melampau serta risiko penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya lagi.
Pada masa sama, kata beliau, mekanisme audit keselamatan dan pematuhan yang lebih ketat terhadap syarikat pengangkutan perdagangan juga wajar diwujudkan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Pertubuhan Pemandu Lori dan Bas Negeri Perak bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan reformasi industri pengangkutan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, adil dan berkesan.
“Kami percaya bahawa keselamatan jalan raya tidak boleh dicapai hanya dengan menghukum pemandu semata-mata.
“Sebaliknya, keselamatan jalan raya hanya dapat diperkasakan apabila semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pengangkutan dipertanggungjawabkan secara adil dan saksama,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga cedera, kemalangan dua buah lori


