Aktiviti DIY rantai kunci ‘pixel beads’ antara tarikan Tinker Town

IPOH – Orang ramai kini semakin cenderung mencari aktiviti santai pada masa lapang yang bukan sahaja menghiburkan, malah dapat mengeratkan hubungan bersama keluarga, rakan dan pasangan.

Sejak mula beroperasi pada Disember tahun lalu, Tinker Town by Funtasi Land yang terletak di Sentra Mall Klebang di sini menawarkan gabungan pengalaman kreatif seperti menghasilkan patung sendiri, mencipta rantai kunci pixel beads yang comel serta merakam kenangan di photo booth berkonsep unik dan menarik.

Trend aktiviti berasaskan kreativiti kini semakin mendapat perhatian apabila pengunjung berpeluang menghasilkan karya sendiri dengan membawa pulang kenangan yang lebih bermakna.

Aktiviti DIY rantai kunci 'pixel beads' antara tarikan Tinker Town
Pengunjung tekun menyusun pixel beads mengikut rekaan pilihan sebelum dijadikan rantai kunci ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Tinker Town by Funtasi Land, Sentra Mall Klebang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2026.

Pembantu jualannya, Nur Ainin Sofiya Shuhaimi berkata, premis tersebut dibuka sejak Disember tahun lalu dan beroperasi setiap hari bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Di Tinker Town, kita ada tempat untuk mengambil gambar (photo booth), aktiviti membuat patung dan pelanggan juga boleh membuat rantai kunci pixel beads yang kini semakin popular khususnya dalam kalangan remaja.

“Pelanggan boleh menghasilkan rekaan mengikut kreativiti sendiri dengan memilih contoh gambar yang diinginkan daripada telefon pintar atau carian di internet.

Aktiviti DIY rantai kunci 'pixel beads' antara tarikan Tinker Town
Pembantu jualan, Nur Ainin Sofiya Shuhaimi ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Tinker Town by Funtasi Land, Sentra Mall Klebang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2026.

“Kemudian, mereka boleh pilih daripada 221 warna pixel beads yang disediakan dan susun mengikut bentuk yang diinginkan. Selepas itu, kami akan jadikannya sebagai rantai kunci.

“Pilihan masa yang diberikan adalah antara satu hingga tiga jam bergantung kepada saiz rantai kunci yang ingin dibuat dengan harga bermula RM15 untuk satu jam, RM25 (dua jam) dan RM55 (tiga jam).

“Jika pelanggan tidak sempat menyiapkan dalam masa satu jam, mereka boleh menambah masa dengan bayaran RM10 untuk setiap satu jam tambahan.

Aktiviti DIY rantai kunci 'pixel beads' antara tarikan Tinker Town
Pembantu Jualan memasukkan kapas ke dalam patung menggunakan mesin khas sebelum dihias dengan aksesori ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Tinker Town by Funtasi Land, Sentra Mall Klebang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2026.

“Bagi pelanggan yang memilih satu jam, mereka boleh menghasilkan gambar kecil manakala bagi untuk dua jam, kami akan berikan dua papan pasak (pegboard) dan mereka boleh membuat antara dua hingga tiga bentuk gambar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di sini hari ini.

Katanya, antara bentuk gambar popular yang menjadi pilihan pelanggan adalah watak anime, kartun, dan juga corak bunga-bungaan.

“Selain remaja dan orang dewasa, kanak-kanak seawal usia empat ke lima tahun juga sudah boleh mula melakukan aktiviti ini dengan bantuan ibu bapa.

Aktiviti DIY rantai kunci 'pixel beads' antara tarikan Tinker Town
Pembantu jualan, Nur Ainin Sofiya Shuhaimi memilih pakaian untuk dipadankan dengan patung yang dihasilkan ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Tinker Town by Funtasi Land, Sentra Mall Klebang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2026.

“Kami juga akan membantu dan menunjukkan cara-cara untuk menghasilkan rantai kunci tersebut serta mengesyorkan mereka untuk memilih warna yang sesuai mengikut citarasa masing-masing,” jelasnya.

Nur Ainin Sofiya berkata, selain aktiviti menghasilkan rantai kunci pixel beads, orang ramai juga boleh membuat patung sama ada untuk diri sendiri ataupun dijadikan sebagai hadiah.

“Di sini, pelanggan boleh memilih sendiri patung yang mereka mahukan. Kemudian, mereka boleh masukkan kapas ke dalam patung mengikut kesesuaian masing-masing. Mereka juga boleh meletakkan perakam suara dan alat simulasi degupan jantung.

Aktiviti DIY rantai kunci 'pixel beads' antara tarikan Tinker Town
Pembantu jualan menyelesaikan proses menjahit patung selepas diisi kapas sebelum dipadankan dengan pakaian dan aksesori ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Tinker Town by Funtasi Land, Sentra Mall Klebang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2026.

“Selepas selesai dijahit, mereka boleh menambah aksesori seperti baju atau rantai. Istimewanya di sini, kami turut menyediakan sijil kelahiran di mana pelanggan boleh bergambar bersama patung tersebut.

“Harga untuk patung sahaja bermula dari RM49 sehingga RM79, manakala aksesori lain adalah pada harga yang berbeza,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia berkata, terdapat empat photo booth dengan tema menarik seperti surat khabar dan dalam kapal terbang yang bermula dari RM15 hingga RM20.

Aktiviti DIY rantai kunci 'pixel beads' antara tarikan Tinker Town
Pembantu jualan menunjukkan patung yang telah siap lengkap dengan pakaian dan aksesori ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Tinker Town by Funtasi Land, Sentra Mall Klebang, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2026.

“Sehubungan itu, kami mengajak orang ramai untuk berkunjung ke sini bersama keluarga, rakan-rakan mahupun pasangan bagi menikmati pelbagai aktiviti kreatif yang ditawarkan.

“Selain dapat menghasilkan karya mengikut kreativiti sendiri, aktiviti ini juga secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan mencipta kenangan bermakna bersama orang tersayang,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI