IPOH – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan khianat dengan api termasuk membaling bom molotov yang menyebabkan kerosakan harta benda, awal Jun lalu.
Tertuduh, M Dhinakaran dan B Ratheneswary, masing-masing berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka telah didakwa melakukan khianat dengan membaling satu botol kaca yang menyebabkan kerosakan ke atas rumah dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V milik seorang wanita berusia 52 tahun di Pekan Razaki, Ipoh sekitar jam 4 pagi, 4 Jun 2026.
Bagi pertuduhan berikutnya, mereka didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat hendak membinasakan empat buah rumah yang dimiliki empat individu berusia antara 42 hingga 74 tahun di Taman Kledang Suria, Menglembu, Ipoh pada jam 5 pagi, 11 Jun 2026.
Untuk kedua-dua pertuduhan ini mereka didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Seterusnya, mereka didakwa telah melakukan khianat dengan api (atau bahan-bahan letupan) dengan menyebabkan kerosakan pintu masuk rumah di Menglembu Bestari, Menglembu pada jam 3.30 pagi, 12 Jun 2026.
Kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM11,000 ke atas setiap tertuduh bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan sebutan semula pada 11 Ogos depan bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh, M Dhinakaran dan B Rahtheneswary masing-masing berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF 10 JULAI 2026.
Sementara itu dalam prosiding berasingan, Dhinakaran didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan khianat dengan sengaja menyimbah cat merah ke atas kenderaan dan pagar milik tiga individu berasingan sehingga menyebabkan kerosakan pada awal Jun lalu.
Majistret S Punitha dan Majistret Norizan Riduan kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bapa kepada lima orang anak itu didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama itu dilakukan di tiga lokasi berbeza sekitar Ipoh dan Menglembu antara 4 hingga 8 Jun 2026.
Ketika mengemukakan rayuan, tertuduh memaklumkan bahawa dia bertindak demikian selepas didesak ah long kerana tidak dapat menjelaskan hutang, selain khuatir keselamatan keluarganya terancam.
Isterinya, Rahtheneswary yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak istimewa turut didakwa bersama atas dua pertuduhan berasingan dan mengaku tidak bersalah.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 dan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding ini, kes masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira dan S Nishaalini manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan; Intan Shafini Mior Shahrin; EP Seeralasittan dan Canice Chan Hong Yan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengurus kilang tidak mengaku sorok 741 tan minyak sawit mentah


