Pengurus kilang tidak mengaku sorok 741 tan minyak sawit mentah

IPOH – Seorang pengurus kilang kelapa sawit yang berpangkalan di Afrika Selatan telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu bekas majikannya berhubung kedudukan stok sebenar minyak sawit mentah pada tahun 2024.

Tertuduh, TR Logeswaran, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu telah secara tidak jujur menyembunyikan kedudukan stok sebenar minyak sawit mentah di Kilang Sawit Berau dengan mengemukakan rekod data pengeluaran minyak sawit mentah berjumlah 741.618 metrik tan dengan niat memperdayakan syarikat supaya menerima dan menggunakan rekod stok berkenaan sebagai kedudukan sebenar.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad, Wisma Taiko, Ipoh antara 14 Mac hingga 21 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin memohon agar jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin yang terdiri daripada ahli keluarga tertuduh.

Beliau turut memohon supaya tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes tersebut selesai.

Pengurus kilang didakwa tipu bekas majikan babit stok 741.618 tan minyak sawit mentah
Seorang pengurus kilang kelapa sawit, TR Logeswaran, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan menipu bekas majikannya berhubung kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah pada tahun 2024. Foto ABDULLAH YUSOF 08 JULAI 2026.

Sementara itu, peguam Kiranjeet Kaur Sidhu yang mewakili Logeswaran memohon mahkamah supaya tidak menyita pasport anak guamnya kerana ia adalah keperluan utama untuk meneruskan pekerjaan di Afrika.

Katanya, Logeswaran juga perlu menanggung isteri, dua orang anak yang berusia dua dan lima tahun, selain ibu bapanya yang sudah uzur.

“Anak sulung tertuduh telah didiagnosis menghidap gangguan spektrum autisme, manakala anak bongsunya yang dilahirkan pramatang mengalami pelbagai masalah kesihatan sehingga memerlukan perbelanjaan rawatan kira-kira RM2,500 sebulan bagi kedua-dua anak tersebut.

“Anak guam saya perlu kembali bekerja di Afrika bagi menyara keluarganya dan menampung kos rawatan anak-anaknya.

“Dia juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan. Pada 16 Disember 2024, dia telah hadir ke Balai Polis Sungai Senam. Semalam dia telah pulang ke Malaysia secara sukarela selepas dimaklumkan pihak polis memerlukan keterangan lanjut,” katanya.

Kiranjeet berkata, Logeswaran kini berada di Malaysia atas cuti tahunan dan akan berdepan masalah serius sekiranya pasportnya disita kerana ia akan menjejaskan pekerjaannya di luar negara.

Beliau menegaskan anak guamnya bukan seorang yang berisiko melarikan diri kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat dan sentiasa bersedia hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan.

Norizan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Mahkamah turut menetapkan 6 Ogos ini sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suami pelakon didakwa tipu jual tanah kurniaan, darjah kebesaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI