KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif membekalkan pelbagai jenis dadah sintetik ke pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan, Pahang menerusi Op Musca.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 3 Julai lalu, polis menahan tujuh individu terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Beliau berkata, lima serbuan yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM13.2 juta.
“Antara dadah yang dirampas ialah 84.3 kilogram serbuk MDMA, 4.4 kilogram pil ekstasi, 2.4 kilogram ketamin dan 730 gram pil Erimin 5.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dan menjadikan kondominium sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut beliau, sindiket itu menggunakan beberapa lokasi berasingan bagi menyimpan dan membungkus dadah sebagai langkah mengurangkan risiko dikesan pihak berkuasa.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan rekod pula mendapati hanya seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan perjudian.
“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 Julai hingga 10 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
Hussein berkata, selain tangkapan dan rampasan dadah, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya lagi, sitaan melibatkan 10 kenderaan pelbagai jenis, 11 jongkong emas seberat 476.1 gram, 35 barangan kemas, tiga jam tangan berjenama Rolex, Tudor dan Maserati, dua beg Louis Vuitton serta wang tunai berjumlah RM74,266 dan THB4,500.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan aset bagi Op Musca dianggarkan berjumlah RM14.6 juta.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan. – Malaysia Gazette


