IPOH – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di sebuah premis hiburan, April lalu.
Tertuduh, Mohammad Aizat Zamli, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ketamin dan methylenedioxy- methamphetamine (MDMA) ke dalam badan di Bilik VIP 1 Grand OC Sdn Bhd, Wisma Wolley, Jalan Canning Estate, Taman Ipoh dalam daerah Kinta sekitar jam 5.04 pagi pada 5 April 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.
Kes turut dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan tertuduh boleh diletakkan di bawah pengawasan bagi tempoh antara dua hingga tiga tahun selepas menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin.
Terdahulu, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Nur Nadzrah dalam mitigasinya memohon jaminan paling minimum dengan alasan tertuduh yang bertugas di Segamat, Johor itu masih bujang dengan pendapatan sebulan RM3,000 serta perlu menanggung bapanya yang sudah uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


